EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah (kiri) meninjau rakaman sketsa Senandung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri yang dilakonkan trio pelakon komedi Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario di Dewan Jubli Perak, SUK, Shah Alam pada 31 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jawab kuiz, kongsi video Senandung Aidilfitri untuk menang duit raya

SHAH ALAM, 1 MEI: Duit raya RM200 menanti orang ramai yang menjawab kuiz ketika menonton program Senandung Aidilfitri yang disiarkan Syawal kedua, 9 malam.

Menurut maklumat dikongsikan Gaya Travel, penonton perlu menjawab soalan yang dipaparkan setengah jam sebelum program bermula dan sekali lagi selepas rancangan berakhir.

Selain menjawab kuiz, penonton bertuah juga boleh memenangi duit raya RM100 dengan berkongsi video siaran langsung ke dinding Facebook dan Twitter masing-masing.

Kedua-dua hadiah yang ditawarkan masing-masing kepada 20 penonton itu sebahagian daripada duit raya keseluruhan berjumlah RM10,000 yang ditawarkan Kerajaan Selangor selaku penganjur.

Rancangan Senandung Aidilfitri tahun ini menampilkan nyanyian artis terkenal antaranya Ziana, Zain, Sissy Imann, Elyana Emrizal, Haziq Rosebi dan Roy.

Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario pula selebriti yang menjayakan lima sketsa, dua daripadanya bertema kejadian banjir besar yang menimpa negeri ini hujung tahun lalu.

Disiar di portal http://selangortv.my dan Facebook Media Selangor, rancangan itu pertama kali disiarkan tahun lalu ketika larangan balik kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan.


Pengarang :