AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Jamin bekalan makanan, ubah tanah terbiar jadi tapak pertanian

SHAH ALAM, 20 MEI: Tanah terbiar di seluruh negeri akan dijadikan tapak pertanian untuk memastikan bekalan makanan mencukupi serta dapat menampung keperluan rakyat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Menteri Besar berkata beberapa kawasan dikenal pasti sesuai untuk bertani antaranya tanah seluar 30 ekar di Bukit Cheeding, Banting yang diusahakan sebagai tapak tanaman kontan seperti sayuran, cili dan kelapa.

“Ia diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak tahun lepas lagi. Malah, untuk program jaminan bekalan makanan yang diaturkan, kita sasar mencari tanah terbiar 1,000 ke 2,000 ekar setiap tahun,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Guru 2022 yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM67 juta untuk tujuan pembangunan sektor pertanian di negeri Selangor bagi tempoh lima tahun (2021-2025).

Langkah diambil ialah menambah kawasan pertanian, meningkat aktiviti pengeluaran, memperkasa PKPS, meningkat insentif agropreneur dan melaksana kaedah pertanian moden.

Usaha tersebut seiring sasaran Selangor menjadi pusat simpanan makanan negara pada masa depan selain mengurangkan kebergantungan bekalan import.


Pengarang :