Peniaga ayam di Pasar Awam Seksyen 6, Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Situasi bekalan ayam di Selangor akan diumumkan lusa

SHAH ALAM, 21 MEI: Kerajaan negeri Selangor akan memaklumkan perkembangan terkini berhubung isu bekalan ayam yang didakwa tidak mencukupi sejak kebelakangan ini, pada Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya perlu berbincang dengan Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri yang dipengerusikan Izham Hashim, terlebih dahulu untuk mengetahui status sebenar bekalan bahan mentah tersebut.

“Kita kena tengok maklumat sebenar dahulu, adakah kerana unsur bekalan kurang ataupun mungkin elemen lain.

“Jadi, Isnin ini kita tengok (hebahan status bekalan ayam). Saya bincang dahulu dengan YB Izham apa masalahnya sebab bekalan ayam memang di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya jaga harga barang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Perdana Musim Haji 1443 Hijrah peringkat negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Semalam media melaporkan, Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) Idrus Zainal Abidin mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang hari ini disebabkan isu bekalan yang berpunca ayam sakit.

Khamis lepas, Izham ketika mengulas mengenai bekalan ayam di Selangor berkata rakyat negeri itu tidak perlu khuatir berhubung perkara tersebut kerana ia masih terkawal terutama apabila kerajaan bersetuju tidak mengenakan permit import (AP) bagi mengimport sebarang bahan makanan yang berkuat kuasa serta-merta.

– BERNAMA


Pengarang :