AGENDANASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian bekas pemain hoki Freddy Wilfred Vias

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pemain hoki kebangsaan, Freddy Wilfred Vias yang meninggal dunia semalam.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan berharap agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” menurut hantaran dalam Facebook Istana Negara di sini, pagi ini.

Freddy meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya tengah hari semalam pada usia 93 tahun.

Mendiang merupakan pemain pasukan kebangsaan pada era 1950an dan pernah dipilih menjadi kapten pasukan kebangsaan pada tahun 1954.

Semasa hayatnya mendiang merupakan salah seorang pemain utama yang membantu skuad negara untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik 1956 Melbourne, Australia.

Mendiang pernah memegang jawatan setiausaha Persatuan Hoki Johor dari tahun 1950 hingga 1953 dan setiausaha Persatuan Hoki Negeri Sembilan dari tahun 1956 hingga 1957.

Mendiang juga pernah dipilih sebagai salah seorang daripada 80 pembawa obor untuk Larian Berganti-ganti Obor Olimpik yang diadakan sempena temasya Olimpik Beijing 2008.

– BERNAMA


Pengarang :