Timbalan Pengarah Kejurulatihan Rexy Mainaky (tengah) bersama barisan pemain badminton negara pada sesi latihan skuad kebangsaan di Pusat Konvensyen Setia City pada 13 Februari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Badminton: Tiket kejohanan Masters Malaysia dijual mulai esok

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Peminat badminton tempatan boleh mula membeli tiket Kejohanan Masters Malaysia bermula jam 2 petang esok.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata tiket yang dijual bermula harga RM20 hingga RM460 boleh dibeli secara dalam talian di https://my.bookmyshow.com, lapor portal Berita Harian.

Masters Malaysia akan berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil bermula 5 hingga 10 Julai depan dan bakal menyaksikan kehadiran barisan pemain terbaik dunia menyertainya.

“Memandangkan sambutan yang menggalakkan untuk tiket bagi Terbuka Malaysia, kami menjangkakan sambutan yang sama daripada peminat untuk Masters Malaysia. Saya percaya momentum daripada Terbuka Malaysia akan diteruskan ke Masters Malaysia,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Saingan Masters Malaysia yang bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 500 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$360,000 (RM1.6 juta).

Ketika edisi terakhir penganjurannya pada 2020, bintang sensasi Jepun, Kento Momota muncul juara perseorangan lelaki manakala Chen Yufei dari China memenangi gelaran perseorangan wanita.


Pengarang :