Dr Muhammad Imran Ahmad (kiri) dan moderator Mohd Norzi Nasir ketika program Bicara Santai Uniknya Pengajian Islam @ Kuis sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada 6 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kuis yakin capai sasaran 3,000 pelajar hasil promosi di PBAKL 2022

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mengambil peluang mempromosikan universiti itu kepada pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Pengajian Peradaban Islam berkata Kuis menyasar pengambilan 3,000 pelajar pada sesi pengajian Jun dan Julai ini.

Menurut Dr Muhammad Imran Ahmad daripada jumlah itu kira-kira 400 pelajar adalah bagi di Fakulti Pengajian Peradaban Islam.

“Sepanjang 12 hari berlangsungnya PBAKL 2022 ini, pelbagai fakulti berlainan akan hadir bagi memberi taklimat mengenai kursus yang ditawarkan di fakulti masing-masing.

“Setiap fakulti mempunyai sasaran jumlah pelajar yang akan diambil manakala namun secara keseluruhan Kuis menyasarkan kira-kira 3,000 pelajar akan mendaftar tahun ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata Kuis turut membuka kaunter pendaftaran di pesta buku itu untuk kemudahan individu yang berminat menyambung pelajaran di universiti terbabit.

“Kita mengalu-alukan pelajar yang berminat untuk berdaftar secara terus atau dalam talian menerusi portal Kuis,” katanya.

Sementara itu, Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) tidak melepaskan peluang penyertaan di PABKL 2022 bagi mempamerkan kursus yang ditawarkan termasuk pengendalian dron.

Eksekutif Pasukan dan Rekod Pelajar STDC Ahmad Zulkhidzrie Mohamad Zuki berkata mereka menerima banyak pertanyaan mengenai kursus di institut itu.

“Kita ada menawarkan kursus jangka pendek kepada individu yang berminat termasuk cara mengendalikan dron iaitu di kampus STDC Kuala Selangor.

“Alhamdulillah sepanjang empat hari kami di sini ramai yang berminat untuk sertai kursus ini selain 11 kursus lain seperti terapi spa, pengangkutan dan rekaan fesyen,” katanya.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 adalah ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

Ia membabitkan penyertaan 19 agensi seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Invest Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Tourism Selangor.

PBAKL 2022 kembali dianjurkan selepas dua tahun ditangguhkan akibat Covid-19 dan menyasar kehadiran sehingga sejuta pengunjung selama 10 hari berlangsung.


Pengarang :