Orang ramai memenuhi ruang Pavilion Selangor untuk mendapatkan pelbagai maklumat pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 5 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMA

PBAKL bantu promosi insentif biasiswa, pinjaman pendidikan untuk anak Selangor

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Bahagian pengurusan sumber manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) mengambil peluang mempromosi insentif pembiayaan pendidikan di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022.

Ketua Penolong Setiausaha (Dasar) Mazhan Mujail berkata pembiayaan bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) ditawar kepada anak Selangor yang berminat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Sebagai menyokong penganjuran PBAKL 2022, kita memperkenalkan inisiatif pembiayaan pendidikan sama ada biasiswa atau pinjaman yang disediakan secara konsisten oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM22 juta setahun.

“Kita menyampaikan maklumat terperinci berhubung pembiayaan ini selain membantu cara membuat permohonan secara dalam talian kepada mereka yang berkunjung ke tapak pameran.

“Sebenarnya masih ramai keliru definisi sebenar anak Selangor yang mana individu terbabit atau ibu bapa mereka lahir di negeri ini atau sudah bermastautin lebih 10 tahun, jadi mereka layak mohon,” katanya ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan permohonan pinjaman boleh ubah dalam negara dibuka sejak hari pertama penganjuran PBAKL sehingga 31 Julai melalui pautan https://tkwbns.selangor.gov.my atau https://danapendidikan.selangor.gov.my.

Menurut Mazhan, pihaknya menyasarkan sebanyak 2,000 permohonan diterima sepanjang tempoh itu berbanding 1,500 yang diperoleh pada tahun terdahulu.

“Saya menyeru anak Selangor yang layak agar manfaatkan peluang kerana uniknya pinjaman ini tiada kadar faedah, malah diskaun 50 peratus secara automatik diberi jika mereka memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas,” katanya lagi.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Radhilah Abdullah berkata PBAKL medium terbaik untuk memperkenalkan 20 jenis buku seni budaya terbitan institusi terbabit.

Katanya naskhah akademik seperti muzik, tari, seni halus dan animasi tulisan pensyarah Aswara menerima sambutan memberangsangkan dalam kalangan pengunjung kerana dijual pada harga serendah RM20 hingga RM100.

“Kita juga perkenalkan lukisan pelajar Fakulti Seni Halus selain memberi pendedahan kepada pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin menyambung pengajian di institusi ini untuk ambilan sesi September,” katanya.


Pengarang :