Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar perniagaan melalui saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) pada 19 April 2021. /Foto MUSTAKIM RAMLI SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Peniaga kecil bawah PLATS dibimbing, ada peroleh jualan RM5,000 sehari

Khairul Azran Hussin

SHAH ALAM, 26 JUN: Peniaga dan penjaja kecil yang berdaftar dengan Platform Selangor (PLATS) diberi latihan keusahawanan dan bimbingan mengenai pengurusan kewangan yang betul.

Penyelarasnya Azizul Hussin berkata golongan tersebut turut dibantu cara melaksanakan jualan secara digital atau e-dompet untuk meningkatkan kecekapan perniagaan.

“Jangan terkejut kalau ada peniaga atau penjaja kecil di tepi jalan yang berdaftar dengan PLATS menjalankan perniagaan tanpa tunai, guna e-dompet. Semua ini kita bantu untuk memudahkan peniaga itu sendiri.

“Selain itu, ada penjaja di bawah PLATS yang memperoleh jualan mencecah RM5,000 sehari. Kita bantu mereka, beri khidmat nasihat urus kewangan yang betul,” katanya ketika menjadi tetamu program Borak Santai sempena Jelajah Selangor Penyayang menerusi Selangor TV.

Beliau berkata, peserta di bawah PLATS diberi bimbingan dari semasa ke semasa termasuk khidmat nasihat jika ingin menukar bidang jualan.

“Kita bukan hanya menarik peniaga berdaftar bawah PLATS sebaliknya kita sentiasa mengambil tahu perkembangan jualan. Jika ada peniaga bercadang tukar jenis jualan, kita akan bantu.

“Malah jika tidak boleh buka gerai jika cuaca hujan, peniaga masih boleh berniaga di rumah menggunakan PLATS,” katanya.

PLATS diperkenal Ramadan dua tahun lepas bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Rakan Digital Selangor (RDS) dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.

 


Pengarang :