Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN harap Rancangan Selangor Satu beri tumpuan luar bandar

SHAH ALAM, 20 JULAI: Rancangan Selangor Satu (RS-1) yang akan dibentang Dato’ Menteri Besar pada Isnin depan diharap dapat direalisasi dengan menumpukan kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin berkata beliau mengharapkan RS-1 dapat memberi tumpuan menyeluruh dengan tiada kawasan yang tercicir.

ADN Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin. Foto Facebook Mohd Imran Tamrin

“Selangor ini bukan Shah Alam atau bandar sahaja tetapi luar bandar juga seperti kawasan saya dalam daerah Sabak Bernam. Pembangunan luar bandar perlu diberi tumpuan juga.

“Kita tak nak dalam RS-1 dalam lima tahun akan datang kita di Sabak Bernam masih lagi ketinggalan. Perlu ada rancangan untuk merapatkan jurang antara daerah-daerah dalam Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata berdasarkan Simposium Pra-Pelancaran RS-1 pada awal bulan ini, rancangan lima tahun itu memberi harapan baharu kepada warga Selangor.

“Diharapkan ketika pelaksanaannya nanti ia dilihat secara menyeluruh agar tiada keciciran atau perkara-perkara yang terlepas pandang.

“Ia mesti melibatkan semua pihak tanpa mengira parti, kaum dan agama. Libatkan juga kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan persekutuan,” katanya.

ADN Sijangkang Dr Ahmad Yunus Hairi. Foto Facebook Dr Ahmad Yunus Hairi

Sementara itu, ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata gambaran mengenai RS-1 ketika simposium menunjukkan ia satu rancangan yang baik untuk negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ia sesuatu yang baik dan sekurang-kurangnya kita ada perancangan untuk Selangor dalam keadaan keterbatasan dengan kejadian yang tidak sangka berlaku seperti banjir dan Covid-19.

“Apa yang diharapkan bukan sekadar rancangan tetapi tindakan susulan. Saya harap peluang ekonomi yang bakal muncul selepas ini membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat dan bukannya warga asing.

“Dari sudut lain saya harap ada perancangan untuk sekuriti makanan. Perlu ada jaminan keselamatan makanan di Selangor,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan RS-1 memfokuskan empat prinsip utama merangkumi ekonomi, sosial, kelestarian dan tadbir urus bagi menjayakan agenda Negeri Pintar menjelang 2025.

Kerangka jelas berkenaan RS-1 akan dimaklumkan ketika pelancarannya pada 25 Julai ini sempena pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).


Pengarang :