Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Jelajah Harapan Selangor di Kampung Permatang Tanjung Karang, Kuala Selangor pada 2 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar: Harga barang naik kerana kerajaan lambat bertindak

KUALA SELANGOR, 3 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan persekutuan lambat bertindak menangani kenaikan harga barang sejak enam bulan lalu.

Ketua pembangkang itu berkata Jawatankuasa Khas Kabinet yang ditubuh baru-baru ini sepatutnya diwujudkan lebih awal bagi membendung kenaikan harga barang.

“Harga ayam dah naik enam bulan, sebelum Raya Puasa dah nak masuk Raya Haji, baru nak Tubuh Jawatankuasa Kabinet. Ini kerajaan apa ini?

“Saya pernah jadi menteri… dengar sahaja sebelum naik seperti menjelang raya, beberapa bulan sebelum itu kita dah tubuh jawatankuasa untuk tangani masalah itu dan ia boleh dikawal.

“Sekarang? dah naik melambung dah sampai berbelas ringgit untuk sekilogram ayam baru nak buat Jawatankuasa Kabinet. Tak membantu, tak prihatin masalah rakyat,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata demikian pada Jelajah Harapan Selangor – Kuala Selangor di Padang Kampung Permatang, Tanjung Karang di sini, malam tadi.

Beliau berkata Kerajaan Selangor menunjukkan contoh terbaik dalam menangani beberapa isu dengan sentiasa berada di hadapan bagi memastikan rakyat tidak terbeban.

“Saya yakin Selangor dapat dipertahankan tetapi saya mahu rakan-rakan di Selangor turun ke lapangan ke negeri-negeri lain. Cerita apa yang berlaku di Selangor, perbezaan dengan cara pentadbiran supaya ada perubahan nanti,” katanya.

Pada 30 November tahun lalu, Anwar pernah memuji inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan jualan sayuran menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi membantu rakyat.

“Apabila ada krisis dan PKPS tampil mengadakan jualan seperti sayur yang harganya boleh diturunkan sehingga RM1.50 hingga RM2 kerana ada food valley dan ladang sendiri yang dapat mengurangkan kos.

“Saya mengikuti perkembangan dan rasa patut beri sokongan dan ini contoh membanggakan oleh Kerajaan Selangor serta harap negeri lain dan kerajaan persekutuan ambil tindakan segera harga sayur, ikan yang semuanya naik,” katanya.


Pengarang :