Fahmi Fadzil berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan KEADILAN Lembah Pantai dan perasmian jentera PRU15 di Signature Hotel, Jalan Pantai Baharu pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN garis hala tuju parti dalam kongres minggu depan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggariskan dasar dan hala tuju parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 dalam kongres yang berlangsung 15 hingga 17 Julai.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata kongres menyaksikan kepimpinan baharu parti berdasarkan keputusan yang disahkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memutuskan Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN akan diteruskan pada 15 Julai dan Kongres Nasional pada 16 dan 17 Julai ini,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Selain itu, beliau berkata sebanyak 1,800 aduan berkaitan pemilihan parti masih dalam penelitian JPP yang akan memberi maklum balas bertulis kepada pengadu.

“MPP turut menerima penjelasan bahawa bagi kategori aduan yang terkait isu disiplin, hal tersebut akan dirujuk kepada lembaga disiplin,” kata ahli parlimen Lembah Pantai itu.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara bersama Media Selangor baru-baru ini yakin pemilihan yang berlangsung pada Mei tidak menjejaskan parti seperti pemilihan lalu.

Ketua pembangkang juga menjelaskan pemilihan berkenaan berlangsung bebas, telus dan adil serta diterima ahli dengan mengekal semangat untuk mempertahan idealisme.


Pengarang :