Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim (tiga, kanan) menunjukan Penjanjian Sempadan Darat antara Negeri Selangor dan Negeri Sembilan sambil disaksikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Takiyudin Hassan (tengah) bersama Exco Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan Dato’ Ismail Ahmad (tiga, kiri) di Sama Sama Hotel, Sepang pada 4 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Penentuan sempadan Selangor, Negeri Sembilan mudahkan pembangunan

SEPANG, 4 JULAI: Pemeteraian Penjanjian Sempadan Darat antara Selangor dan Negeri Sembilan hari ini akan memudahkan pembangunan di kedua-dua negeri, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jajaran darat yang siap ditanda dan diukur dengan jarak sepanjang 111.9 kilometer itu bakal memberi limpahan ekonomi kepada rakyat pada masa akan datang.

“Insya-Allah dalam masa beberapa hari lagi Selangor akan membentangkan Rancangan Selangor 1 di mana ia akan melukis serta melakar beberapa kaedah pembangunan dan perancangan kita.

“Pengesahan sempadan ini sedikit sebanyak dapat membantu perancangan yang jitu, tepat dan betul untuk pembangunan yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Darat Di Antara Negeri Selangor Dan Negeri Sembilan di Hotel Sama-Sama di sini.

Kerja penandaan dan pengukuran sempadan darat antara kedua-dua negeri bermula 5 Mei 2016 hingga siap sepenuhnya pada 17 Mac 2018.

Amirudin berkata walaupun proses jajaran darat itu berakhir ia adalah permulaan bagi kedua-dua negeri memulakan rundingan penentuan sempadan maritim.

“Bila darat dah selesai maka bermula ukuran di laut, jadi proses ini akan diurusan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) juga,” katanya.

Majlis menandatangani itu disaksikan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan EXCO Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan Dato’ Ismail Ahmad.


Pengarang :