Foto Twitter Rafizi Ramli
AGENDANASIONAL

Rafizi lampir draf laporan polis terhadap Najib esok

SHAH ALAM, 18 JULAI: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Rafizi Ramli melampirkan draf laporan polis terhadap bekas perdana menteri bagi memudahkan urusan ahli parti esok.

Ia susulan arahan dibuatnya ketika Kongres Nasional ke-16 parti itu semalam yang menggesa ahli akar umbi menyanggah Datuk Seri Najib Razak selepas meracun fikiran rakyat dengan isu perkauman.

“Saya sertakan draf laporan polis terhadap @NajibRazak supaya disiasat di bawah Kanun Keseksaan, Perkara 132 dan Peraturan PUA 395 Perlembagaan Persekutuan.

“Kecuaian menjalankan tugas penjawat awam iaitu keputusannya yang mengundang saman dan notis saman diterima 2017,” ciapnya di Twitter hari ini.

Sebelum ini, Najib membidas Rafizi kerana menyalahkannya mengenai isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap Sabah, sedangkan kesilapan paling besar didakwa dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

Beliau menyifatkan kesilapan besar itu adalah tindakan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas menulis surat kepada waris Sultan Sulu untuk menyatakan rasa kesal dan menawarkan bayaran bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Mengulas lanjut, bekas ahli parlimen Pandan itu berkata akar umbi KEADILAN juga tidak boleh berdiam diri melihat pembohongan yang dilakukan Najib selain melabel beliau sebagai ‘penakut’.

Rafizi turut menjemput aktivis akar umbi Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk bersama pihaknya membuat laporan polis berhubung perkara sama esok.


Pengarang :