Orang ramai membeli barang keperluan asas bagi membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dalam Karnival Jualan Mega Prihatin anjuran PKPS di Kampung Pandan, Ampang Jaya pada April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ramai mengeluh harga sayur, buah melonjak hingga 30 peratus

SHAH ALAM, 12 JULAI: Harga sayur dan buah dilaporkan meningkat antara 20 hingga 30 peratus sejak dua minggu lalu dengan kenaikan ketara ketika musim perayaan.

Menurut peniaga di Pasar Seri Kembangan, cili kampung dan timun antara sayuran yang mengalami peningkatan harga menyebabkan ramai pelanggan tidak berpuas hati, lapor Harian Metro.

Jelas Nor Suhaili Suhaimi, 48, cili kampung dijual pada harga RM28 hingga RM30 sekilogram berbanding RM24 sebelum ini dan menjejaskan peniaga yang membeli dengan jumlah banyak.

“Pelanggan yang beli sedikit (RM2 ke RM3) selalunya tidak terlalu terasa dengan kenaikan harga ini, tetapi peniaga selalu mengeluh dan ada juga pelanggan yang marah dengan kami (peniaga sayur), mereka ingat kami sengaja menaikkan harga untuk untung lebih.

“Namun, ada juga pelanggan yang memahami situasi sekarang memang harga turun, naik tidak menentu, seperti kami peniaga kecil ini memang bergantung kepada harga yang ditetapkan pembekal,” katanya.

Sementara itu, peniaga sayur yang mahu dikenali sebagai Erin berkata harga tomato dan timun sebelum ini RM3.50 sekilogram, namun naik kepada RM7 kerana kenaikan kos pengangkutan.

Tinjauan di pasar sama juga mendapati harga buah-buahan meningkat antara 20 ke 30 peratus terutama epal, mangga, cempedak kerana bergantung kepada musim dan pembekal dari Thailand.


Pengarang :