Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan SelGDX pada Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor lancar sistem perkongsian data, tingkat kecekapan jabatan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan platform Perkongsian Data Negeri Selangor (SelGDX) , sistem yang berperanan mempercepat perkongsian data antara jabatan.

Dato’ Menteri Besar berkata Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM) negeri dengan kerjasama Telekom Malaysia membangunkan sistem itu berikutan tempoh berurusan berkaitan maklumat antara jabatan mengambil masa lama.

“Kita kongsikan maklumat antara jabatan menjadi satu dengan penyemakan data boleh dibuat tanpa merujuk secara jabatan ke jabatan lagi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Sebelum ini, mereka rujuk jabatan ke jabatan dan perlu tunggu hingga tiga hari baru dapat data yang dikehendaki. Cara ini menjimatkan masa menunggu.”

Bercakap dalam majlis Simposium Prapelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, beliau berkata SelGDX juga memudahkan urusan jabatan dalam menyalur bantuan kepada rakyat.

Sebagai contoh, katanya, Lembaga Zakat Selangor (LZS) boleh menyemak permohonan individu yang memohon pembinaan rumah dengan mengakses data pejabat tanah bagi mengetahui sama ada pemohon memiliki tanah atau tidak.

“Perkongsian data antara jabatan ini akan dimulakan dalam kadar segera kerana ia telah dibangunkan dan ada persetujuan antara jabatan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk RM2 juta bagi pembangunan SelGDX yang berperanan mengurangkan pertindihan pembangunan dan kos penyelenggaraan prasarana selain memperkukuh peranan jabatan.

Kajian pembangunan platform SelGDX merujuk kepada prinsip asas dan kerangka operasi pusat perkongsian data sektor awam (MyGDX) yang dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) pada Mei 2018.


Pengarang :