Exco Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail bersama penerima pembiayaan skim Hijrah Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang 2022 di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hampir 4,500 usahawan Hijrah dapat modal kembang niaga RM70 juta

SHAH ALAM, 8 OGOS: Hampir 4,500 usahawan menerima pembiayaan perniagaan RM70 juta daripada Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bagi memulakan perniagaan sejak Januari hingga Julai.

Pengurus Kanan Korporat Azrul Aziz berkata pembiayaan menerusi lapan skim iaitu i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).

Pengurus Kanan Korporat Hijrah Azrul Aziz ketika diwawancara Media Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 8 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Skim i-Bisnes yang menawarkan pinjaman bermula RM1,000 hingga RM50,000 mendapat permintaan tinggi terutama dalam kalangan peniaga kecil.

“Semua skim merupakan pinjaman patuh syariah yang tiada unsur riba, kualiti tidak diragui selain caj pinjaman rendah.

“Langkah ini tidak membebankan peminjam dalam proses pembayaran semula,” katanya hari ini.

Setakat ini, Azrul berkata 80 peratus usahawan konsisten membayar semula pinjaman sekali gus membolehkan Hijrah menawarkan modal pusingan kepada peserta lain.

“Hijrah berdepan dengan 20 peratus usahawan yang sukar membuat bayaran namun tidak memberi kesan kewangan. Kita tubuhkan unit kawalan kredit untuk memudahkan peminjam membayar semula,” katanya.

Peniaga berminat dengan skim pembiayaan berkenaan boleh membuat permohonan secara dalam talian menerusi mikrokredit.selangor.gov.my

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November lalu mengumumkan beberapa penambahbaikan dalam skim pembiayaan Hijrah pada tahun ini melibatkan dana berjumlah RM120 juta.


Pengarang :