ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar bercakap kepada SelangorKini selepas Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah 2022 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Dewan Seri Kelana, Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 24 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Seri Setia tubuh jawatankuasa, pantau dua lokasi berisiko banjir

PETALING JAYA, 24 SEPT: Dua penempatan di DUN Seri Setia iaitu Taman TTDI Jaya dan Taman Mesra, Shah Alam dikenal pasti sebagai lokasi berisiko banjir pada hujung tahun ini.

Wakil rakyat Halimey Abu Bakar berkata susulan itu pihaknya bersama beberapa agensi berkaitan akan memantau keadaan dari semasa ke semasa terutama sistem aliran air.

“Di Taman TTDI Jaya, kita tubuhkan jawatankuasa khas selain mengambil kira pandangan pakar yang juga merupakan penduduk situ, antaranya bekas bekas pengarah Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan Dan Saliran.

“Di Taman Mesra pula kita pastikan empat hingga enam pam berfungsi dengan baik bagi mengepam air keluar. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertanggungjawab menyelenggara pam ini,” katanya selepas menyerahkan Insentif Haji Muassasah kepada jemaah di sini, hari ini.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan sebanyak lapan daripada sembilan daerah di Selangor dikenal pasti sebagai berisiko banjir.

JPS memaklumkan daerah terlibat Klang, Petaling, Gombak, Hulu Langat, Sepang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Susulan itu Kerajaan Negeri bakal mengumumkan peruntukan khas persediaan banjir selain latihan simulasi bencana selama dua hari minggu depan.


Pengarang :