Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan keperluan asas pada harga murah sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua anjuran PKPS di Flat Selayang Mulia,Gombak pada 2 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

5,000 banjiri jualan murah DUN Sungai Tua, ayam habis terjual dalam 90 minit

GOMBAK, 2 OKT: Bekalan ayam standard, telur dan daging habis dijual dalam tempoh 90 minit penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Flat Selayang Mulia, di sini hari ini.

Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi berkata sambutan sangat memberangsangkan memandangkan semua produk dijual pada harga lebih rendah dari pasaran.

Setiausaha Politik Kawasan Dato’ Menteri Besar A Rahim Kasdi bercakap kepada Media Selangor ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua anjuran PKPS di Flat Selayang Mulia,Gombak pada 2 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini merupakan lokasi ke tujuh. Enam lokasi sebelum ini turut mendapat sambutan hangat dengan penduduk mula beratur sejak 8 pagi.

“Secara keseluruhan dianggarkan lebih 5,000 penduduk menerima manfaat program ini,” katanya ditemui di lokasi jualan di sini hari ini.

A Rahim berkata pihaknya bakal menganjurkan program sama sempena Deepavali pada 22 Oktober bagi memudahkan penduduk India mendapat barangan keperluan raya.

“Jualan dijangka berlangsung di Taman Laksamana Permai. Kawasan itu didiami ramai keluarga India. Kita juga jual daging kambing dan keperluan lain pada harga berpatutan,” katanya.

Kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun barangan jualan ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Flat Selayang Mulia,Gombak pada 2 Oktober 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif dilaksana Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang itu memanfaatkan lebih 80,000 orang sejak diperkenal Disember tahun lalu.

Menerusi program itu, PKPS menawarkan barang keperluan asas seperti ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut dijual pada harga murah ialah ikan kembung atau selayang dengan RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :