Elizabeth Wong (kiri) dalam sidang media bersama bekas pekerja sebuah syarikat berasaskan teknologi selepas yang menuntut tunggakan gaji di hadapan premis syarikat dekat sini pada 15 Oktober 2022. Foto Sumberkini
ADNSELANGOR

ADN cuba bantu 100 pekerja alami masalah tunggakan gaji, KWSP

SHAH ALAM, 17 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan Elizabeth Wong berusaha membantu 100 bekas pekerja sebuah syarikat berasaskan teknologi di Kuala Lumpur untuk mendapatkan hak mereka.

Menurutnya, langkah diambil termasuk menghubungkan mereka dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor untuk nasihat dan sokongan, lapor Sumberkini.

Sementara itu, wakil pekerja Tee Chian menuntut majikan membayar tunggakan gaji lapan bulan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan potongan cukai berjadual RM12 juta.

Beliau turut menggesa pihak berwajib mengambil tindakan tegas terhadap bekas majikan yang membuka perniagaan baharu meskipun masalah sedia ada belum selesai.

“Syarikat tidak membayar gaji kami kira-kira lapan bulan dan menyedihkan apabila gaji kami telah ditolak untuk caruman KWSP namun sebenarnya dikhabarkan tiada bayaran dibuat sejak April 2021.

“Kami juga telah memfailkan 30 laporan polis untuk membantu kes kami selain melalui Jabatan Buruh dan agensi berkaitan pekerjaan supaya kami mendapat semula hak kami,” jelasnya.

Pada Sabtu, kira-kira 10 bekas pekerja berhimpun secara aman di hadapan syarikat itu bagi mendesak syarikat berkenaan melunas tunggakan gaji mereka dengan segera.


Pengarang :