Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Pandan Indah Ir Izham Hashim bertemu penduduk ketika program jualan murah barangan asas sempena Jelajah Ehsan Rakyat di padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 16 Oktober 2022. Foto Facebook Izham Hashim
AGENDANASIONAL

Penduduk dapat jimat RM40 beli barang dapur di jualan murah PKPS

AMPANG, 16 OKT: Program jualan murah Kerajaan Negeri yang berlangsung sejak awal September lalu membantu menjimatkan perbelanjaan dapur.

Peniaga, Ghazali Abdullah,56, berkata menerusi Jelajah Ehsan Rakyat Pandan Indah beliau hanya membayar RM60 untuk barangan telur, ayam, daging dan beras.

“Saya pertama kali datang ke jualan murah ini dan sebagai peniaga diakui bahawa barangan dijual amat berpatutan dan menjimatkan belanja dapur.

“Jika dibandingkan di pasar, mungkin saya perlu bayar kira-kira RM100 tetapi di jualan ini dapat jimat RM40,” katanya ditemui pada program Jelajah Ehsan Rakyat di kawasan parkir Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, hari ini.

Roslind Lim, 64

Sementara itu, pekerja pasaraya, Roslind Lim, 64, berkata usaha Kerajaan Negeri mengadakan jualan murah amat membantu rakyat terutama ketika kos sara hidup yang meningkat.

“Selain dapat beli barang murah, penduduk juga gembira kerana dapat barangan percuma dari wakil rakyat iaitu bihun dan sardin.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana dapat pelbagai manfaat termasuk baucar Jom Shopping. Baucar diberi sangat berguna kerana dapat menikmati ketika masih hidup,” katanya.

Jualan Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah hari ini mendapat sambutan menggalakkan apabila 400 ekor ayam habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Menerusi jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Kerajaan Negeri memperuntuk RM10 juta untuk program tersebut di seluruh 56 DUN mulai 6 September hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.


Pengarang :