Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena ceramah umum di Pangsapuri Seksyen 16, Shah Alam pada 17 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Anwar mahu jumpa syarikat perladangan, turunkan harga minyak masak jika HARAPAN ke Putrajaya

SHAH ALAM, 17 NOV: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu bertemu syarikat perladangan kelapa sawit bagi memastikan minyak masak pasaran tempatan dijual murah sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) kembali menerajui Putrajaya.

Pengerusi gabungan itu berkata beliau tidak gentar untuk mengatur pertemuan itu kerana lebih memahami kesusahan rakyat berbanding jumlah keuntungan yang diperoleh syarikat berkenaan.

“Saya tidak minta banyak pun, cuma peruntukan 10 peratus daripada hasil keluaran kelapa sawit dijual pada harga murah bagi pasaran tempatan.

“Apabila (buah sawit) dijual murah, maka harga minyak masak boleh dijual dengan harga murah,” katanya.

Berucap dalam program bersama calon HARAPAN Shah Alam Azli Yusof di sini hari ini, Anwar mengesa penduduk Shah Alam bangkit menyelamatkan negara dengan memenangkan calon gabungan itu.

Orang ramai membanjiri padang Pangasapuri Seksyen 16, Shah Alam bagi mendengar ceramah disampaikan Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Anwar berkata kemenangan Azli juga bertujuan mempertahankan Parlimen Shah Alam sebagai kubu kuat HARAPAN selama tiga penggal.

“Shah Alam kubu kuat HARAPAN dan pastikan Azli Yusof berjaya menjadi ahli parlimen Shah Alam pada 19 November ini.

“Kalau nak selamatkan negara daripada rasuah, tolong rakyat di bawah, sokong HARAPAN kita tukar kerajaan 20 November ini dan 19 November malam kita isytihar Azli sebagai ahli parlimen Shah Alam, Insya-Allah,” katanya.


Pengarang :