Sebahagian ahli Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang hadir sempena majlis penyerahan watikah yang di sampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak SUK, Shah Alam pada 24 Oktober 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Suntikan dana RM2.83 juta percepat rancang program belia negeri

SHAH ALAM, 29 NOV: Suntikan dana berjumlah RM2.83 juta kepada Penggerak Belia Selangor (PeBS) mampu mempercepat perancangan program di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan.

Presidennya Muhammad Akmal Abdul Halim berkata peruntukan yang meningkat kepada RM25,000 setiap DUN berbanding RM20,000 sebelum ini menuntut komitmen untuk pelaksanaan lebih banyak program.

“Kita rancang untuk melaksanakan empat atau lima dasar pada Januari dan Februari tahun depan tetapi sekarang proses lantikan pengerusi PeBS setiap DUN sedang berlangsung dengan jangkaan selesai Disember.

Presiden Penggerak Belia Selangor (PeBS) Muhammad Akmal Abdul Halim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Apabila pengerusi bertukar, maka dasar juga akan bertukar. Bagaimanapun, ketika ini kita memberi fokus kepada Sukarelawan Selangor (Serve) untuk membantu mangsa banjir.

“Insya-Allah, tahun depan kita akan meneruskan kerjasama dengan program Kerajaan Negeri seperti Jualan Ehsan Rakyat (JER) dan Anak Istimewa Selangor (AnIS),” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga menghargai tambahan peruntukan seperti diumum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2023 dengan hasrat memperkasa agenda belia di negeri ini.

“Kita menyambut baik kenaikan peruntukan ini dan boleh dimanfaatkan sepenuhnya PeBS setiap DUN untuk pelaksanaan pelbagai program membabitkan belia.

“Malah hampir 80 peratus daripada dana yang diperuntukkan kepada PeBS tahun lepas berjaya digunakan di kawasan masing-masing. Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil serius pembangunan anak muda di Selangor,” katanya.

Dalam pembentangan belanjawan negeri Jumaat lepas, Amirudin berkata PeBS ditubuh sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan belia bagi memastikan agenda pembangunan golongan itu dilaksana secara inklusif.

 


Pengarang :