Gereja Tamil Methodist (kanan) yang terletak bersebelahan dengan Masjid An-Nuriah dan Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam di Bukit Rotan , Kuala Selangor pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMARENCANA

Harmoni 100 tahun tiga agama

Kedudukan masjid, gereja dan kuil yang terletak bersebelahan di Bukit Rotan, Kuala Selangor harmoni hasil warisan kerjasama erat.

Meski berbeza kepercayaan, semangat toleransi antara pengurusan ketiga-tiga rumah ibadat itu yang berusia kira-kira 100 tahun turut dikongsi penduduk setempat.

Sempena sambutan Krismas, wartawan AMIN RIDZUAN ISHAK dan jurugambar FIKRI YUSOF menyingkap suasana damai antara penganut Islam, Kristian dan Hindu di situ pada 20 Disember.

Lebih 96 tahun Masjid An-Nuriah (tanda 1), Gereja Methodist Tamil (tanda 2) dan Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam (tanda 3) ‘berdampingan’ di Bukit Rotan, Kuala Selangor. Ketiga-tiga rumah ibadat itu dibina atas kawasan seluas 200 meter di tepi jalan utama antara Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Jarak antara satu sama lain hanya 50 meter. Gereja dan masjid hanya dipisahkan jalan kecil manakala pejabat pos Bukit Rotan yang dikatakan berusia 100 tahun terletak antara masjid dan kuil.

Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam dibina terlebih dahulu, dianggar berusia 110 tahun. Lokasi asalnya bersebelahan pejabat pos sebelum dipindah ke lokasi berhampiran pada 2013 susulan kerja pembesarannya.

Masjid An-Nuriah pula didirikan ahli kariah Bukit Rotan pada 1922, seusia Gereja Methodist Tamil. Empat tahun lagi, kedua-duanya genap usia satu abad.

Menurut paderi gereja itu Jared Thamilcelvan, toleransi penganut agama masing-masing tinggi. Meski berbeza kepercayaan, penduduk tidak terikut-ikut sentimen perkauman dan keagamaan yang dimainkan segelintir pihak.

Meski kebelakangan ini suara-suara songsang sedemikian kuat kedengaran tetapi ia tidak pernah menjejaskan muafakat sesama penduduk, bahkan mengeratkan lagi hubungan sedia ada.

“Kami tetap kekalkan keharmonian yang diwarisi golongan dahulu dan saling bantu membantu jika ada masalah.

“Bila azan berkumandang, kami hentikan sebentar upacara sembahyang, itu tanda kami hormat agama Islam,” katanya kepada Selangorkini pada 20 Disember.

Gereja Tamil Methodist (kanan) yang terletak bersebelahan dengan Masjid An-Nuriah dan Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam di Bukit Rotan , Kuala Selangor pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ketika baru hendak memulakan tugas di gereja itu setahun lalu, paderi terdahulu kerap menasihatinya supaya tidak segan-segan untuk meminta bantuan masjid bersebelahan hasil keakraban sesama mereka.

Pengurusan Masjid An-Nuriah mudah diajak berbincang kerana mereka sentiasa bertolak ansur terutama ketika ‘jirannya’ berdepan masalah. Begitu juga pengurusan Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam yang mudah menghulur tangan.

Memberi contoh, Jared mengimbau pertemuannya dengan imam masjid berkenaan untuk meminta kebenaran bagi menggunakan tapak letak kenderaan kerana mereka bakal menerima ramai tetamu dalam majlis pada November.

“Tanpa banyak soal imam bagi kebenaran supaya pengunjung kami boleh letak kenderaan di tepi masjid. Majlis kami berjalan lancar,” kata paderi berasal dari Kampar, Perak itu.

Paderi Jared Thamilcelvan mendekorasi pokok krismas ketika tinjauan Media Selangor di Gereja Methodist Bukit Rotan, Kuala Selangor pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bantu orang susah

Sesuai dengan saranan agama yang mengajar penganutnya membantu orang susah, penduduk berhampiran yang berdepan kesulitan sentiasa mendapat perhatian pengurusan ketiga-tiga rumah ibadat berkenaan.

Tanpa membezakan pegangan agama, pelbagai bantuan antaranya barangan keperluan atau makanan dan wang tunai kerap disampaikan kepada golongan memerlukan.

Pengurusan Gereja Methodist Tamil, misalnya, giat membantu masyarakat India di ladang-ladang berhampiran. Kerjasama itu dibuat dengan ketua komuniti termasuk pihak kuil.

Begitu juga pengurusan masjid dan kuil yang sering menghulur bantuan kepada orang ramai. Selain jemaah atau penganut agama sendiri, sumbangan sama disalur kepada penduduk berhampiran tanpa mengira kepercayaan.

Hasil toleransi kukuh antara satu sama lain, ketiga-tiga pusat ibadat itu sentiasa menjadi tumpuan pengunjung serata negara apatah lagi akses ke sana cukup mudah.

Ketika tinjauan, sekumpulan penganut Kristian berkunjung ke Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam untuk melihat reka bentuknya yang indah lagi unik.

Penjual bunga di Kuil Sri Shakthi Dhevasthanam P Eswary, 64, berkata ramai pelancong datang terutama waktu cuti untuk melihat sendiri masjid, gereja dan kuil yang terletak bersebelahan sambil merasai suasana harmoni sekeliling.

“Kebetulan kuil, masjid dan gereja terletak di tepi jalan besar, jadi mudah orang ramai hendak datang. Mereka mahu melihat sendiri keadaan di sini.

“Kami di sini memang tiada masalah, saling hormat dan bantu membantu satu sama lain,” katanya lagi.

Gereja Tamil Methodist Bukit Rotan , Kuala Selangor pada 20 Disember 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Keharmonian tersebut juga dimanfaat agensi kerajaan dengan menganjurkan program yang menjurus kepada usaha memupuk perpaduan pada Oktober lalu. Peserta juga berpeluang melihat lebih dekat keadaan tiga rumah ibadat itu.

Bagi Pengerusi Gereja Methodist Tamil Thavethurajan Thomas, beliau menyimpan impian untuk bersama-sama pengurusan masjid dan kuil berkenaan bagi menganjurkan satu majlis khas.

Beliau percaya program sedemikian boleh menjadi contoh kepada pihak luar mengenai kepentingan amalan toleransi dan tolak ansur dapat dipupuk demi melahirkan masyarakat yang bersatu-padu.

Thavethurajan juga menaruh harapan supaya kerajaan membantu memperbaiki kemudahan di rumah ibadat berkenaan antaranya saliran tersumbat bagi mengelakkan ketiga-tiga rumah ibadat itu terselamat dari banjir.

“Bukan sini sahaja yang boleh terjejas tetapi kawasan sekitar. Kami tidak mampu untuk membaikinya sendiri,” katanya sambil menambah perkara itu pernah dibangkitkan kepada pihak berkuasa tempatan.


Pengarang :