EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping (tengah) bersama pemain industri ketika perasmian program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri 5 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Hotel Crystal Crown, Pelabuhan Klang, Klang pada 10 Disember 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah usahawan digital dapat sambutan, hampir 1,000 sertai di lima daerah

KLANG, 11 DIS: Hampir 1,000 usahawan menyertai Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 kendalian Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata jumlah penyertaan itu membabitkan lima siri jelajah di Gombak, Hulu Selangor, Petaling, Kuala Selangor dan Klang.

“Jelajah ini bertujuan mendedahkan masyarakat mengenai dunia digital dan memberi khidmat bantuan kepada syarikat tempatan yang ingin memulakan dalam industri e-dagang.

“Bermula 2020 dengan penyertaan 670 peserta kini jelajah terus mendapat permintaan ramai dengan hampir 1,000 pada tahun ini susulan ditangguhkan tahun lalu berikutan Covid-19,” katanya.

Beliau berucap pada Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 siri kelima semalam yang dirasmikan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Dalam pada itu, beliau berkata menjelaskan Kelas e-Dagang juga kini mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan lebih 8,000 peserta sejak Mac hingga Julai lalu.

“Pada awalnya program bermula 3,000 peserta dengan 15 kelas kini meningkat 48 peratus iaitu lebih 8,053 peserta dan 25 kelas.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa Sidec berjaya memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa pendigitalan adalah penting untuk meningkatkan potensi perniagaan mereka dalam pasaran,” katanya.

Program usahawan digital anjuran Sidec diadakan sebanyak lima siri iaitu di Gombak, Hulu Selangor, Petaling, Kuala Selangor dan berakhir di Klang.

Untuk siri terakhir, Jelajah Usahawan Digital Selangor 2022 membawa rakan kongsi daripada pemain industri iaitu Shopee, Lazada, Touch ‘n Go eWallet, Hijrah Selangor, Epic Unicorn, TikTok Shop, Grab dan Sprii Commerce.


Pengarang :