EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail (duduk kiri) mendengar taklimat Pengurus Kanan Kumpulan Ikram Abd Razif Abd Malek mengenai cadangan kerja pembaikan tanah mendap di Pangsapuri Indahria, Seksyen 22, Shah Alam pada 23 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kawasan parkir terhad di Pangsapuri Indahria, negeri bantu selesai masalah penghuni

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerajaan Negeri akan berunding dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi menyelesaikan isu saman parkir di Pangsapuri Indahria, Seksyen 22, Batu Tiga di sini.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata penyelesaian segera perlu dilaksanakan kerana penghuninya berdepan kekangan kawasan parkir sehingga terpaksa meletak kenderaan di luar pangsapuri tersebut

“Kerja baik pulih membabitkan kawasan seluas 180 meter persegi menyebabkan berlaku kekurangan parkir. Pemasangan cerucuk mikro di tebing sungai berhampiran juga menyebabkan kawasan parkir ditutup selama 55 minggu.

“Disebabkan itu, kita akan bincang dengan MBSJ supaya tidak saman penghuni yang meletak kenderaan di tepi jalan mulai 12 Januari depan sehingga 31 Januari 2024,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan polis bagi meningkatkan rondaan di sekitar pangsapuri tersebut bagi mengelakkan kes kecurian dan pecah kenderaan berlaku.

Sementara itu Pengerusi  Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Indahria berkata isu parkir sudah sekian lama berlaku dan tiada jalan penyelesaian.

Khaaliq khairu-ddin berkata penghuni berdepan masalah itu berikutan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan mereka mengosongkan kawasan parkir akibat masalah tanah mendap.

“Pangsapuri ini berada di bawah MBSA, tetapi kawasan jalan di luar pangsapuri ini berada di bawah bidang kuasa MBSJ. Isunya sekarang ramai penghuni parkir juga dalam kawasan pangsapuri ini biarpun MBSA sudah keluarkan arahan.

“Jika parkir di luar kena saman MBSJ pula tambahan pula kita risau kes kecuarian dan pecah kenderaan yang berlaku,” katanya. Disebabkan isu itu penduduk hilang kepercayaan terhadap JMB menyebabkan mereka enggan membayar penyelenggaraan.

Jelasnya sebanyak 180 unit daripada 240 unit Pangsapuri Indahria dihuni penduduk dengan anggaran tunggakan penyelenggaraan berjumlah RM600,000.

“Kita berterima kasih dengan keprihatinan dan usaha Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah yang menghantui penduduk sejak 12 tahun lalu. Semoga semua masalah ini berakhir segera,” katanya.


Pengarang :