Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor
AGENDANASIONAL

Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan bersama empat beg, pakai baju merah jambu

BATANG KALI, 21 DIS: Mayat kanak-kanak perempuan yang juga mayat ke-25 yang ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, dijumpai bersama empat buah beg mengandungi pakaian dan komputer riba.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah bagaimanapun berkata tiada identiti pengenalan diri dijumpai dalam beg atau berhampiran mayat yang ditemukan pada 11.15 malam, Selasa.

Beliau yang juga Komander Operasi Bencana berkata mangsa berumur antara 6 hingga 10 tahun dan memakai baju tidur berwarna merah jambu.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat, identiti masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam sidang media bersama Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor di sini hari ini.

Sehingga kini 61 selamat, 25 terkorban dan lapan masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat.

Suffian berkata, mayat itu ditemukan di sektor C (Riverside) ketika menggunakan korekan jentera, bukannya daripada anjing unit pengesan (K9).

Beliau berkata Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) memaklumkan keadaan tanah di lokasi pencarian adalah stabil, sekali gus memungkinkan perkembangan positif operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 100 anggota hari ini.

Anggota penyelamat terdiri daripada lima agensi utama yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dibantu empat anjing unit pengesan (K9) dan menggunakan 11 jentera berat.

Beliau berkata penemuan semalam menaikkan semangat pegawai dan anggota penyelamat dalam operasi yang memasuki hari keenam hari ini.

“Ya sudah tentu pasukan penyelamat kita pun penat, kalau ada penemuan positif hari ini mereka mungkin lebih bersemangat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :