Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Disember 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Hampir RM26 juta diagih kepada 742 sekolah tahun ini

SHAH ALAM, 1 DIS: Hampir RM26 juta diagihkan kepada 742 buah sekolah menerusi program bantuan sekolah pada tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daerah paling banyak menerima manfaat ialah di Petaling iaitu 222 sekolah dengan peruntukan RM7.04 juta diikuti 134 sekolah di Klang (RM6.18 juta), 102 sekolah di Hulu Langat (RM3.9 juta) dan 68 sekolah di Kuala Selangor (RM1.99 juta).

Turut menerima bantuan ialah 65 sekolah di daerah Gombak (RM1.79 juta), 49 sekolah di Kuala Langat (RM1.74 juta), 39 sekolah di Hulu Selangor (RM1.19 juta), 35 sekolah di Sepang (RM1.32 juta) dan 28 sekolah di Sabak Bernam (RM856,000).

“Hampir RM26 juta diperuntuk dalam bantuan sekolah ini dan ada baki RM100,000. Mungkin ada permohonan tidak lengkap, namun kita akan selesaikan secepat mungkin.

“Secara keseluruhan, 742 sekolah membabitkan RM25.819 juta untuk bantuan telah disalurkan pada tahun ini,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee berhubung jumlah sekolah yang memohon bantuan dan peruntukan diluluskan.

Amirudin turut memaklumkan bantuan sekolah turut diserahkan menerusi beberapa siri Jelajah Selangor Penyayang yang bermula 19 Jun lalu di Hulu Langat hingga 30 Oktober di Sepang.

“Sebanyak 225 buah sekolah melibatkan sekolah jenis kebangsaan cina, tamil, sekolah menengah persendirian cina, sekolah menengah jenis kebangsaan dan mubaligh juga menerima bantuan menerusi program penyerahan bantuan sekolah pada 17 Oktober lalu.

“Bagi kategori sekolah agama rakyat dan sekolah kebangsaan serta menengah kebangsaan pula, sebanyak 501 menerima bantuan yang diadakan pada 21 November lalu,” katanya.


Pengarang :