BUDAYARENCANA

Surat Dr Strange kepada Spiderman

Oleh Khoo Phau Liang

Anda yang datang ke rumah agam saya semalam, ingat?

Anda yang meminta tolong daripada saya. Anda yang merayu-rayu kepada saya supaya dihantar kembali ke masa silam. Anda kata, anda nak baiki sejarah. Anda mesti tukar masa depan. Anda mesti menyelamatkan negara.

Saya pun bertanya hairan, anda hendak ke zaman bila? Anda hendak buat apa?

PRU ke-15, jawab anda. Anda kata anda hendak kembali ke sana untuk mengundi, ingat?

Anda mengaku sebagai salah seorang pengundi muda yang pertama kalinya membuang undi pada PRU ke-14. Waktu itu, anda dan ramai lagi anak muda seluruh negara terlompat-lompat bersorak, meraikan kemenangan setelah berjaya menggulingkan parti politik lama dan menabalkan parti politik pilihan anda. Saya nampak anda tersengih bangga ketika anda mengaku undi anda mengubah kerajaan.

Tetapi kemudian, tiba-tiba anda tergelak seperti orang gila, menyebut tentang Langkah Sheraton, kerajaan pintu belakang, katak melompat, dan beberapa lagi jargon pelik yang kurang saya fahami. Anda menghentak-hentakkan kaki dan menjerit. Anda telah diperbodohkan. Rakyat telah diperbodohkan. Anda berasa loya terhadap permainan politik. Anda hilang percaya terhadap parti politik di negara ini. Anda hilang percaya terhadap pilihan anda sendiri. Rakan-rakan anda juga begitu, dan mereka berpakat memboikot PRU ke-15. Anda juga tidak keluar mengundi.

Saya mencelah dan bertanya dengan tidak sabar, siapa yang menang dalam PRU ke-15 ketika itu? Sebetulnya saya tidak tahu kerana saya sibuk bertapa di dalam dimensi cermin.

Serta-merta anda berteriak dan menangis. Anda menggumam sesuatu teresak-esak, dan saya meneka itu nama parti politik yang menang. Sayangnya saya tidak dapat mendengarnya dengan jelas kerana suara esakan anda terlalu bingit. Saya ingin bertanya lagi, tetapi tidak sempat.

Anda terus menyambung cerita bahawa anda baru sahaja membaca sebuah buku, hadiah daripada seorang kawan penyair yang kaya di IBDE. Buku itu biografi Tunku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan Malaysia. Disebabkan buku itulah anda kini berasa insaf dan kesal kerana tidak membuang undi semasa PRU ke-15.

Anda sangat mengagumi Tunku Abdul Rahman. Anda bercerita, Tunku seorang yang kuat semangat dan berani melakukan perkara yang dirasakan betul. Tunku tidak takut kalau-kalau keputusannya akan merugikan dirinya sendiri. Sewaktu menerima cabaran untuk bertanding bagi kerusi Yang Dipertua Umno, Tunku telah meninggalkan kerjayanya dalam bidang kehakiman yang sedang melonjak, sedangkan Umno pada ketika itu dalam keadaan tidak stabil dan hampir runtuh kerana ditinggalkan Dato’ Onn Jaafar. Walaupun ramai yang tidak yakin akan kebolehannya, tetapi Tunku berusaha keras sehingga berjaya mengembalikan kepercayaan orang Melayu dan menjadikan Umno lebih kuat. Akhirnya Tunku bahkan berjaya mencapai cita-cita untuk menuntut kemerdekaan. Tunku berpegang kepada pendiriannya sendiri, dan beliau berjaya mengubah keadaan di sekelilingnya.

Tunku juga seorang yang berjiwa besar, sentiasa berfikir dengan rasional dan mempunyai azam yang kuat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat di tempatnya. Mariam, isteri Tunku yang menghidap demam malaria mati tragis akibat kecuaian doktor kerajaan negeri yang tersalah menyuntik kuinina pekat ke dalam salur darahnya, tetapi Tunku tidak berdendam. Sebaliknya, Tunku menulis surat kepada Ketua Setiausaha Negeri meminta peruntukan untuk saliran paya, bagi menghapuskan lubuk pembiakan nyamuk di Kuala Nerang. Tindakan Tunku telah menyelamatkan penduduk daripada terus diancam penyakit malaria yang meragut nyawa.

Setakat itu rumah agam saya nyaris-nyaris banjir kerana air mata anda melimpah-limpah, dengan hingus pekat meleleh dari hidung. Anda kata, anda terlalu terharu kerana Tunku telah mengajar anda banyak perkara: tidak mengalah, berani membuat perkara yang betul, sentiasa prihatin terhadap masyarakat di tempat anda, dan berfikir rasional demi kebaikan jangka masa panjang. Anda berfalsafah lagi seperti orang mabuk, menggumam bahawa hidup ialah tentang pilihan, bahawa kita harus bertanggungjawab terhadap pilihan sendiri, bahawa masa depan dicorakkan oleh tangan kita pada hari ini. Walaupun yang berlaku kemudian baik atau buruk, sekurang-kurangnya kita telah melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan. Anda bahkan memetik petikan yang anda hafal daripada buku biografi Tunku.

“Kita sering terlupa bahawa mereka yang terlibat dalam peristiwa bersejarah itu tidak mengetahui apa yang bakal berlaku. Bagi mereka yang terlibat itu, untuk membuat keputusan yang tepat, untuk menghadapi keadaan tidak menentu, untuk menangani perasaan ragu-ragu dan untuk mempertaruhkan banyak hal demi mencapai sesuatu natijah ialah beban berat yang senantiasa harus ditanggung.”

(Tunku: Kelana Penuh Cinta, 138)

Kemudian saya sempat mencelah lagi. Saya mempersoalkan keazaman anda. Bagaimana kalau pilihan anda juga tidak sempurna? Bagaimana kalau semua pilihan yang ada, semuanya tidak baik? Saya sempat membacakan sketsa jenaka yang ditulis oleh sasterawan negara, Zurinah Hassan dalam Facebook beliau kepada anda.

Mak: Milah, kau kena kahwin Milah. Tahun ini juga.

Milah: Musim-musim banjir ni pun mak nak buat kenduri?

Mak: Ya, kau mesti kahwin. Ramai yang nak kan kau, si Banau, si

Panau, si Pahau. Kau mesti pilih sorang.

Milah: Semua Milah tak suka. Depa semua jahat.

Mak: (lembut memujuk) Tak boleh begitu Milah, kita terpaksa memilih. Banjir tak banjir, kenduri mesti jadi. Kalau dah semua jahat, kita pikir-pikir lah siapa yang kurang jahat.

….ha, kau pengsan Milah.

(Facebook Zurinah Hassan, 11 Okt 2022)

Saya terkejut kerana anda tidak ketawa dengan jenaka itu. Anda merenung saya dengan tajam dan sedalam-dalamnya. Anda jawab, kalau keadaan memaksa, anda akan memilih calon yang kurang jahat. Itu lebih baik daripada berlakon pengsan, akhirnya dikahwinkan dengan pasangan yang lebih jahat. Dalam keadaan genting dan memaksa, anda bertegas bahawa kita harus berani membuat pilihan yang tepat dan memikirkan penyelesaian yang terbaik antara semua yang ada. Itulah ertinya menjadi rasional dan bertanggungjawab terhadap masa depan sendiri.

Sampai di sini saya berharap anda sudah boleh menghadam dan mempercayai kata-kata saya. Saya sudah mengingatkan anda semalam, mantera saya untuk kembali ke masa silam ada kesan sampingannya. Anda akan hilang ingatan, dan itulah yang berlaku sekarang. Mantera saya sudah berjaya membawa anda kembali ke masa ini. Sekarang saya harap anda berani untuk membaiki sejarah, mengubah masa depan, melakukan apa yang sepatutnya anda lakukan sekarang.

Jangan lupa keluar mengundi.


Pengarang :