Pasukan mencari dan menyelamat bertungkus lumus mencari mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 19 Disember 2022. Foto Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tragedi tanah runtuh: Usaha cari mangsa diperluas ke sungai berdekatan

BATANG KALI, 19 DIS: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki sembilan mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini, diteruskan dengan menggunakan khidmat pasukan khas sweeper untuk mengesan mangsa di kawasan sungai berdekatan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Hafisham Mohd Noor berkata tujuh anggota sweeper telah digerakkan di sungai yang berada di luar ground zero kawasan pencarian.

“Memandangkan penggalian runtuhan tanah di kawasan disektorkan sudah capai tahap negatif iaitu sehingga mencecah tanah asal tapak perkhemahan dan masih belum menemukan sebarang mangsa, maka hari ini kita gerakkan tujuh anggota sweeper untuk cari di luar ground zero.

“Fokus pencarian pasukan ini ialah di kawasan aliran sungai yang keruh bagi mencari mangsa di situ. Tinjauan sudah dibuat di semua lokasi dikenal pasti, bagaimanapun masih gagal untuk buat sebarang penemuan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pos Kawasan Pusat Kejadian, di sini hari ini.

Selain itu, Noorhisham berkata bagi mengatasi masalah tanah lembut yang menyukarkan pergerakan jentera jengkaut di lokasi SAR, pasukan pencarian juga telah menebang pokok untuk dijadikan lantai bagi melancarkan operasi jentera berat di situ.

“Tanah lembut ini sebenarnya sangat menyukarkan pergerakan jentera sehingga ada yang telah tersekat di lokasi pencarian. Jadi, pasukan penyelamat ambil pendekatan untuk tebang pokok di sekitar dan dijadikan lantai bagi mudahkan jentera bergerak supaya boleh terus jalankan kerja penggalian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata sebanyak 125 anggota penyelamat sedang bertugas bersama 11 jentera pengaut bagi mengesan sembilan lagi mangsa yang masih hilang.

“Kami (anggota penyelamat) tidak akan hilang keyakinan dan bertungkus-lumus serta meningkatkan usaha untuk mencari sembilan mangsa terbabit,” katanya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan seorang isteri dan anak kepada seorang daripada sembilan mangsa ada mengunjungi PKPK untuk menyemak senarai mangsa dan pihaknya telah mengesahkan bahawa nama yang dicari mereka ada dalam senarai.

Operasi SAR yang masuk hari keempat hari ini dijangka diteruskan sehingga lewat malam ini susulan keadaan cuaca baik dan tidak hujan.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 orang.

— BERNAMA

 


Pengarang :