Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program bantuan masuk sekolah ahli Tawas bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Rangka semula Tawas susulan keperluan semasa, pelbagai bantuan sejak lahir hingga lanjut pengajian

GOMBAK, 29 JAN: Kerajaan Negeri merangka semula Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) berikutan terdapat keperluan kelestarian dalam pelaksanaannya.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap tahun Kerajaan Negeri perlu berbelanja RM22 juta untuk menunaikan pemberian RM1,500 kepada peserta yang mencapai usia 18 tahun.

“Oleh demikian, kita buat Iltizam Anak Selangor (Anas) dengan sumbang RM100 setiap tahun selama 5 tahun dan dibukakan akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN PRIME) kepada anak-anak ini.

“Kita tukar Tawas kepada Anas bermula tahun ini dan dilanjutkan seterusnya. Selain Kerajaan Negeri, ibu bapa juga boleh menambah jumlah itu setiap tahun di akaun anak-anak sekali gus membudayakan amalan menabung,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) menyampaikan beg dan peralatan sekolah ketika program bantuan masuk sekolah ahli Tawas bagi sesi persekolahan darjah 1 tahun 2023 DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer di Dewan Rakyat Batu Caves, Gombak pada 29 Januari 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau menyampaikan bantuan tersebut kepada penerima berdaftar bawah DUN Sungai Tua, Gombak Setia dan Taman Templer di Dewan Rakyat Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri juga menyusun pelbagai program bantuan untuk anak-anak sejak daripada mereka lahir sehingga melanjutkan pengajian.

“Kita beri Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas), Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) dan bantuan sesi persekolahan. Bukan sahaja Kerajaan Negeri, tetapi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI juga ada melaksana program bantuan sekolah.

“Saya bersyukur Kerajaan Negeri masih dapat meneruskan, menambah baik dan memperkemas program bantuan untuk anak-anak. Ini adalah keinginan untuk melihat kemakmuran dan kehidupan baik tanpa mengira fahaman politik dan perbezaan kaum, ia berdasarkan keperluan rakyat,” katanya.


Pengarang :