Keadaan bandar Hatay, Turkey selepas dilanda gempa bumi pada 6 Februari 2023 yang menyebabkan lebih 5,000 nyawa terkorban. Foto REUTERS/Umit Bektas
AGENDANASIONAL

Malaysia sumbang lebih RM8 juta bantu mangsa gempa bumi Turkiye, Syria

PUTRAJAYA, 8 FEB: Malaysia akan menyalurkan sumbangan lebih US$2 juta (RM8.6 juta) kepada Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di kedua-dua negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini hari ini, beliau berkata Jemaah Menteri bersetuju menyediakan US$1 juta manakala Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut berkenan menyumbang US$1 juta lagi bagi tujuan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media selepas majlis dialog belanjawan 2023 ‘Membangun Malaysia Madani’ di Kementerian Kewangan pada 17 Januari 2023. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, katanya Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan juga akan menyumbang RM10 juta yang sebahagian bantuan itu akan disalurkan ke Turkiye dan Syria.

Gempa bumi besar dengan magnitud 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut beribu nyawa di Turkiye dan Syria. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lebanon.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) kedua ke Turkiye malam ini untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.

Pasukan kedua di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan dianggotai 70 anggota daripada SMART serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Ini kerana pasukan pertama sangat berkesan, Turkiye memohon tambah anggota,” katanya.

Seramai 70 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dihantar ke selatan Turkiye pada 6 Februari bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Turkiye. Foto BERNAMA

Pada 6 Februari lepas, Malaysia menghantar pasukan SMART ke Turkiye bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turkiye sebagai tanda solidariti kepada mangsa yang terjejas.

Anwar berkata Kementerian Pertahanan juga sedang mempersiapkan pasukan doktor dan paramedik dari Angkatan Tentera Malaysia untuk digerakkan ke Turkiye.

“Pasukan dari ATM ini bersedia untuk menggerakkan hospital medan ke Turkiye namun sedang menunggu pengesahan mengenai keperluannya oleh negara itu,” katanya.

Pasukan penyelamat mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan berikutan gempa bumi di Diyarbakir, Turkiye pada 6 Februari 2023. Foto REUTERS

Mengenai proses membantu mangsa di Syria, Anwar berkata sebarang proses sumbangan ke negara itu akan dilaksanakan melalui International Committee of The Red Cross (Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah).

“Ini kerana ada masalah sekatan… konsul kita di Syria akan memastikan penyaluran dana dan pembelian perubatan disalur melalui Palang Merah,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :