Penduduk sekitar mengambil peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Azalea Court Tasik Puteri, Rawang pada 22 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Peniaga kecil sertai Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang, bantu jana pendapatan

Oleh Diana Abd Wahab

GOMBAK, 22 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang membenarkan peniaga kecil menyertai program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) bagi membantu mereka menjana pendapatan.

Penyelarasnya Salasiah Disa berkata langkah tersebut juga memberi pilihan kepada pengunjung jualan murah untuk membeli buah-buahan dan sayur-sayuran selain barangan asas lain seperi ayam, ikan serta telur.


Penyelaras DUN Kuang Salasiah Disa ketika Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Azalea Court Tasik Puteri, Rawang pada 22 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Semalam peniaga kuih pau, roti canai sejuk beku dan pisang sertai jualan murah peringkat DUN Kuang di Dewan Merdeka. Hari ini pun kita bawa peniaga kecil, ada jual jagung dan nanas.

“Kalau boleh memang kita nak bawa ramai peniaga, tetapi atas faktor kekangan kawasan, kita terpaksa hadkan. Insya-Allah pada masa depan lebih ramai peniaga kecil diajak sertai program ini” katanya.

Terdahulu, Salasiah yang mewakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang Sallehudin Amiruddin membantu menyelia kehadiran lebih 400 pengunjung program Jelajah Ehsan Rakyat  di Azalea Court Tasik Puteri di sini.

Jualan menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.

Penduduk sekitar mengambil peluang membeli barangan dapur yang dijual murah berbanding harga pasaran sempena Jelajah Ehsan Rakyat DUN Kuang di Azalea Court Tasik Puteri, Rawang pada 22 Februari 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI


Pengarang :