SHAH ALAM, 21 MAC: Seramai 122 warga kerja Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) tahun 2022 hari ini.
Penerima memperoleh hadiah wang tunai RM1,000 setiap seorang, sijil penghargaan dan sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN) bernilai RM400.
Manakala 24 individu lagi menerima Anugerah Khas Perkhidmatan dengan membawa pulang sijil penghargaan dan sijil simpanan premium RM400 selain dua penerima Anugerah Khas Datuk Bandar memperoleh sijil, plak serta wang tunai RM4,000.
Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid mengucapkan tahniah kepada semua penerima dan berharap kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.
“Selaku penjawat awam kita tidak boleh kekal selesa pada pencapaian yang dikecapi ini sebaliknya perlu sentiasa dinamik dalam menangani perubahan persekitaran.
“Justeru, dengan pemberian anugerah ini saya berharap penerima dapat memperkasakan komitmen dan bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas yang diamanahkan selain memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis APC 2022 MBSA di Pusat Konvensyen MBSA di sini hari ini.

Dr Nor Fuad menggesa kakitangannya sentiasa menambah baik kemahiran, ilmu pengetahuan dan bersikap integriti selain peka, berfikiran terbuka untuk menerima perubahan yang pantas.
“Oleh itu ‘character building ‘ dituntut bagi memastikan setiap kakitangan boleh mengadaptasi tatacara kerja baharu melalui penambahan ilmu pengetahuan, meningkatkan kemahiran dan amalan nilai murni serta intergriti yang tinggi dalam menjalankan tugas.
“Percayalah, dengan penambahbaikan berterusan terhadap diri benar-benar memberikan manfaat kepada diri sendiri termasuk pekerjaan kita. Oleh itu, kita perlu menambah baik dari segi sistem, peraturan dan proses kerja atau hasilnya,” katanya.