Kakitangan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPAJ memeriksa aduan mengenai sampah plastik pelembut pakaian yang bertaburan di tepi Jalan Mawar 4, Taman Muda, Ampang Jaya pada 6 Mac 2023. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ kompaun pemilik dobi buang sampah di tempat awam

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 23 MAC: Pemilik sebuah premis dobi di kompaun oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selepas dikenal pasti membuang sampah plastik pelembut pakaian di lokasi haram pada 6 Mac lalu.

Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariatnya berkata hasil semakan mendapati plastik pelembut pakaian yang dilupuskan di tepi Jalan Mawar 4, Taman Muda, Ampang Jaya merupakan tindakan pemilik atau pekerja premis dobi berkenaan.

“Susulan itu, satu tawaran kompaun bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 4, UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPAJ 2007 dikeluarkan ke atas pemilik premis dobi tersebut.

“Penerangan berkaitan tatacara pembuangan sampah yang betul kepada pemilik dan pekerja di premis juga telah dilaksanakan di lokasi,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

MPAJ turut memaklumkan sebanyak 17 kompaun bawah UUK dan kesalahan sama telah dikeluarkan setakat 16 Mac lalu.

Selain itu, 11 notis peringatan turut diberikan kepada orang kena saman (OKS) yang gagal menjelaskan bayaran kompaun dalam tempoh ditetapkan.

Sebarang aduan mengenai kebersihan di kawasan MPAJ boleh disalurkan melalui mpaj.spab.gov.my/

 


Pengarang :