Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kiri, belakang) meyaksikan petukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara PKPS dan MBPJ ketika Majlis pelancaran dan lawatan tapak IPR Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PKPS-MBPJ jaya projek tanaman cili fertigasi, sokong Inisiatif Pendapatan Rakyat

PETALING JAYA, 21 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaksanakan projek PJ City Food Valley bagi menyokong Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Projek tanaman cili fertigasi bawah komponen Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) atas tanah seluas 80 ekar di kawasan perumahan kos rendah Pelangi Damansara, Sri Damansara, Sri Manja dan Desa Peransang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata fasa pertama projek berkenaan merangkumi tanah seluas 10 ekar diusahakan 40 penduduk setempat.

“Setiap peserta diberikan satu plot tanah dengan 1,000 polibeg cili dan dilengkapi infrastruktur sistem fertigasi untuk dijaga sehingga membuahkan hasil.

“PKPS akan membimbing peserta dengan memberi latihan dan amali kaedah pertanian serta membantu memasarkan hasil tanaman kepada orang ramai,” katanya di Pangsapuri Kos Rendah, Pelangi Damansara di sini hari ini.

Beliau berucap sempena pelancaran projek berkenaan yang disempurnakan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Majlis turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Datuk Bandar Petaling Jaya  Mohamad Azhan Md Amir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bergambar bersama penerima manafaat Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) ketika Majlis pelancaran dan lawatan tapak IPR Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mohamad Khairil menyasarkan potensi pulangan bersih setiap peserta IPR sehingga RM2,500 sebulan sekali gus membantu mengangkat taraf hidup golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar di Selangor.

“PKPS komited memastikan projek ini berhasil dan mencapai objektif direncana selaras Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) selain menyumbang kepada komponen INTAN.

“Kita siap sedia dikerah sebagai agensi pelaksana untuk membantu mengangkat taraf hidup B40 dan miskin tegar di Selangor,” katanya.

Peerima manfaat Inisiatif Pendapatan Rakyat Hamzah Ahmad bergambar bersama sijil dan pokok cili di IPR ketika Majlis pelancaran dan lawatan tapak IPR Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) @ PJ City Food Valley di Pangsapuri Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 21 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 17 Mac lalu, PKPS dan MBPJ menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melaksanakan IPR INTAN@PJ City Food Valley.

Dokumen ditandatangani Mohammad Khairil manakala MBPJ diwakili Datuk Bandarnya Mohamad Azhan Md Amir.


Pengarang :