HULU LANGAT, 4 MAC: Projek Selangor Penyayang peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal dimulakan bulan ini membabitkan peruntukan RM500,000.
Wakil rakyatnya Mazwan Johar berkata ia membabitkan projek penyelenggaraan dan naik taraf prasarana awam termasuk kemudahan sukan.

“Antara yang diberi penekanan dan perhatian adalah projek selenggara infrastruktur seperti pondok bas. Ia termasuk di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk kegunaan pelajar dan Taman Impian Ehsan kerana ramai golongan B40 menggunakan perkhidmatan bas di situ.
“Selain itu, kemudahan sukan juga diberi perhatian berdasarkan permintaan daripada penduduk yang mahu ia dibaiki bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti riadah dengan lebih selesa,” katanya ketika ditemui hari ini.
Terdahulu, Mazwan menyertai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad bersarapan di medan selera Seksyen 1 berhadapan pasar basah Bandar Baru Bangi di sini.

Amirudin kemudiannya meluangkan masa menyantuni peniaga pasar basah dan pasar rakyat di kawasan berkenaan selain memenuhi permintaan peniaga dan pengunjung yang teruja mahu bergambar bersamanya.
Terdahulu, Amirudin membuka tirai lawatannya ke daerah Hulu Langat sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang dengan menunaikan solat Subuh bersama kira-kira 100 jemaah di Masjid Teras Jernang.