EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni bergambar bersama wakil penerima tong pada Program Murnikan 3R di bulan Ramadan 2023 anjuran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di bazar Ramadan Banting, Kuala Langat pada 29 Mac 2023. Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting Lau Weng San (tiga, kiri) dan Yang Dipertua MPKL Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (empat, kanan). Foto: AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Saran bawa bekas makanan, mangkuk tingkat, kurangkan beg plastik

KUALA LANGAT, 29 MAC: Pengunjung bazar Ramadan disaran membawa bekas makanan sendiri bagi menyokong inisiatif hijau ke arah usaha kelestarian negeri.

EXCO Hal Ehwal Pengguna Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata menjadikan sikap sifar penggunaan beg plastik dalam kehidupan harian wajar dijadikan gaya hidup masa kini.

“Sasaran kita adalah perubahan sikap. Ia bukan soal denda atau soal insentif tetapi kesedaran pengguna untuk ubah tabiat lama kepada baharu dengan membawa beg sendiri, mangkuk tingkat atau bekas makanan sendiri untuk mengurangkan penggunaan beg plastik.

“Perubahan sikap ini mampu menjadikan Selangor negeri yang bersih dan bandar yang tidak tercemar dengan bahan buangan dan barangan plastik yang banyak digunakan oleh rakyat negara ini,” katanya selepas merasmikan program murni 3R di bulan Ramadan di bazar Ramadan Banting di sini, hari ini.

Zawawi berkata program berkenaan adalah anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi mengurangkan penggunaan beg plastik selain pelaksanaan kempen minyak masak terpakai.

“Kita menggerakkan kempen dan program untuk mendekati masyarakat melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi agama, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk.

“Ia bagi menghebahkan program 3R supaya berlakunya perubahan sikap dalam kalangan rakyat mengenai kepentingan kitar semula,” katanya.


Pengarang :