Siti Noradia Mohd Sapie (dua dari kiri) bersama adik dan jiran pada jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat di gelanggang bola keranjang, Kampung Sungai Terentang, Rawang pada 18 MEI 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.
AGENSISELANGOR

Suri rumah kunjungi jualan murah lebih 20 kali, sering promosi kepada jiran

Oleh SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 13 MEI: Mengakui lebih 20 kali berbelanja di Jelajah Ehasan Rakyat (JER), seorang suri rumah turut membantu menghebahkan program jualan murah agar jiran tetangganya turut menerima manfaat.

Siti Noradia Mohd Sapie, 38, berkata jualan murah anjuran Kerajaan Negeri sangat membantu keluarga berpendapatan rendah sepertinya berjimat dalam perbelanjaan barang dapur.

Siti Noradia Mohd Sapie. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Ramai kenalan saya dari keluarga susah, ada juga peniaga kecil-kecilan dan ibu tunggal. Setiap kali ada jualan JER di kawasan kami, saya pasti hebahkan kerana tidak mahu mereka ketinggalan untuk membeli barangan keperluan pada harga murah.

“Program ini sangat membantu kami, setiap kali dianjurkan, ramai penduduk sanggup beratur panjang dan ada yang membawa anak kecil,” katanya yang sudah berkunjung ke JER sejak tahun lepas.

Rosmah Wita. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

Bagi Rosmah Wita, 64, pula berharap jualan murah serata negeri anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terus dilaksanakan.

“Kita kasihan pada keluarga susah, ada yang hanya mampu makan telur saja, di sini boleh dapat (beli) dengan harga murah, jadi lebih baik diteruskan,” katanya yang berniaga apam balik di pekan Rawang.

Sementara itu, Pembantu Khas Ahli Dewan Negeri Rawang Ainul Aizura berkata pihaknya turut merancang untuk menganjurkan JER lebih kerap bagi memastikan lebih ramai penduduk menerima manfaat.

Pembantu Khas ADN Rawang, Ainul Aizura. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI

“Kita lihat sambutan amat tinggi bahkan setiap kali diadakan pasti akan penuh. Kita akan cuba menempah slot tambahan daripada PKPS,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, lebih 300 ekor ikan dan 300 papan telur habis dijual dalam tempoh sejam pada program jualan murah Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang di gelanggang bola keranjang, Kampung Sungai Terentang, Rawang pagi tadi.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Penduduk DUN Rawang membeli-belah pada program jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat di gelanggang bola keranjang, Kampung Sungai Terentang, Rawang pada 13 Mei 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI.

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari lepas.

Selain itu, pada minggu terakhir Ramadan, PKPS dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) turut menganjurkan jualan mega Aidilfitri di 23 lokasi bagi meringankan beban orang ramai menyambut perayaan.

Orang ramai boleh melayari pautan linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :