Pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas yang dijual murah pada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Apartment Merak Taman Bukit Idaman Batu Caves pada 23 Mei 2023. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Tambah program jualan murah, lebih 4,000 keluarga terima manfaat

Oleh Diana Abd Wahab

GOMBAK, 24 MEI: Lebih 4,000 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dijangka menerima manfaat penjimatan harga menerusi penambahan program jualan murah di kawasan itu.

Pegawai khas wakil rakyatnya berkata pihak DUN berhasrat menambah program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) menjadikan penganjurannya tiga atau empat kali seminggu.

“Kita sasar tambah satu atau dua lagi jualan murah berbanding dua ketika ini dalam usaha ringankan beban perbelanjaan terutama makanan penduduk kurang mampu (B40) di DUN ini.

“Setiap penganjuran kita dapat bantu 300 keluarga dan setiap minggu kita anjur dua program, sekurang-kurangnya 2,400 keluarga dapat dibantu dalam sebulan.

“Justeru kita jangka dapat bantu dua kali ganda atau 4,800 keluarga sebulan sekiranya anjur empat kali jualan murah seminggu. Bagaimanapun ia bergantung pada kelulusan dan slot disediakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS),” kata Rawiyiah Zakaria.

Terdahulu beliau ditemui ketika meninjau jualan murah yang berlangsung di Apartment Merak Taman Bukit Idaman Batu Caves di sini.

Kira-kira 200 pengunjung hadir seawal 7.30 pagi di program JER yang bermula 10 pagi.

“Setakat ini kita sudah anjur 10 program JER selaras usaha sahut seruan Kerajaan Negeri bantu golongan B40 yang terhimpit ekoran peningkatan harga barang.

“Kita harap dapat tambah program jualan murah kerana mahu usaha bela nasib rakyat ini berterusan,” katanya.


Pengarang :