Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara, Kuala Lumpur pada 5 Jun 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Allahyarham Nik Aziz dikurnia gelaran Tan Sri sempena hari keputeraan Agong

SHAH ALAM, 5 JUN: Bekas Mursyidul Am PAS Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Pengurniaan darjah kebesaran kepada mantan Menteri Besar Kelantan itu bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Turut dikurniakan darjah kebesaran PSM ialah 25 individu lain termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul , Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Patmanathan.

Selain itu, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Plantation Berhad Datuk Seri Dr Nik Norzul Thani N.Hassan Thani, komposer Datuk Seri Dr Ahmad Khan Nawab Khan dan veteran politik Lim Kit Siang.

Seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 sempena Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah.

Allahyarham Nik Abdul Aziz meninggal dunia pada 12 Februari 2015 pada usia 84 tahun.

Bapa kepada 10 cahaya mata itu memasuki PAS pada 1967 dan menjadi Ahli Parlimen Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) pada 1969 hingga 1986 sebelum berpindah ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api.

Ketika hayatnya, Allahyarham juga adalah bekas Menteri Besar Kelantan paling lama berkhidmat iaitu sejak 1990 hingga 2013.


Pengarang :