Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan khas RM10,000 kepada pihak Masjid Jame’ At-Tuqo. Foto Facebook Ahmad Azri
AGENDANASIONAL

MB hulur sumbangan khas RM10,000 kepada Masjid Jame’ At-Tuqo

Oleh Iman Izziqry

TANJONG KARANG, 10 JUN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan khas RM10,000 kepada Masjid Jame’ At-Tuqo, Sungai Sireh, di sini, semalam.

Ketua tanggungjawab sosial korporat  (CSR) Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata sumbangan boleh dimanfaatkan untuk program keagamaan dan pembangunan infrastruktur masjid berkenaan.

“Pemberian khas itu adalah amalan biasa Dato’ Menteri Besar apabila menunaikan solat Jumaat di masjid yang menjadi pilihannya.

“Jadi sumbangan itu bolehlah digunakan untuk melaksanakan program-program keagamaan dan pembangunan infrastruktur,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Azri menerusi Facebook berkata semalam telah berlangsung dua program Dato’ Menteri Besar di Sabak Bernam yang julung kalinya melibatkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional (BN).

“Semalam seharian berada di daerah Sabak Bernam. Pelancaran SABDA (Sabak Bernam Development Area) di Sungai Panjang dan program Kenduri Rakyat di Masjid At-Tuqo, Sungai Sireh. Sumbangan Insentif Haji Muassasah kepada penerima daripada DUN Sungai Burong.

“Turut bersama ADN Sungai Burong, Dato’ Shamsudin Lias. Ini merupakan kali pertama MBI melaksanakan program bersama dengan ADN daripada BN setelah ADN BN diiktiraf sebagai ADN kerajaan,” katanya.

Ahmad Azri turut memuji tindakan proaktif ADN BN yang sama-sama menjayakan dua program Kerajaan Negeri.


Pengarang :