Jenazah tujuh daripada sembilan sekeluarga yang meninggal dunia dalam tragedi kepala air di Jeram Air Putih Chukai di Terengganu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Lebar Hilir 3, Kuantan pada 4 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Tragedi kepala air: Abang syukur mayat adik ditemui selepas hampir seminggu

CHUKAI, 7 JULAI: Shahrizal Saliman, 40, abang kepada Muhammad Fikri Saliman, 24, mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, di sini tidak dapat menahan sebak apabila dikhabarkan mayat adik bongsunya itu berjaya ditemukan hari ini.

Mayat Muhammad Fikri ditemukan 9.20 pagi tadi oleh pasukan pencarian selepas hampir seminggu dihanyutkan arus deras kepala air ketika pemuda dari Batu Pahat Johor itu berkelah bersama keluarga tunangnya di jeram berkenaan pada 1 Julai lepas.

“Alhamdulillah, berkat hari Jumaat yang mulia ini, akhirnya adik saya berjaya ditemui dalam keadaan… perginya… saya tak boleh cakap apa-apa, saya bersyukur,” katanya sambil menahan kesedihan ketika ditemui media di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih di sini, hari ini.

Shahrizal berkata jenazah adiknya itu akan dikebumikan berhampiran pusara ibunya, Zaiton Rasib, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Batu Pahat.

Menurutnya kenderaan membawa jenazah adiknya akan bertolak dari Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu selepas solat Isyak malam ini dan dijangka tiba di kampung halaman mereka pada waktu Subuh nanti.

Shahrizal telah berada di Pusat Kawalan Operasi di sini sejak Selasa bagi mengikuti rapat perkembangan pencarian adiknya dan sembilan lagi mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan.

Semalam, selepas diberikan kebenaran khas oleh pihak berkuasa untuk masuk ke kawasan pencarian, anak ketiga daripada lima beradik itu mengambil peluang melaungkan azan sebagai ikhtiar agar adiknya dan seorang lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, ditemukan.

“Pelbagai usaha telah dilakukan, termasuk solat hajat dan saya serta keluarga sentiasa berdoa adik saya ditemui. Mungkin adik saya ‘mendengar’ laungan azan saya semalam,” katanya.

Pada masa sama, Shahrizal turut berterima kasih kepada pasukan pencarian daripada pelbagai agensi, badan bukan kerajaan dan penduduk kampung yang bertungkus lumus dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang kini memasuki hari keenam.

Dengan penemuan mayat Muhammad Fikri itu, kini operasi diteruskan bagi mengesan satu lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin.

Terdahulu, jenazah lapan sekeluarga yang ditemukan sebelum ini telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang pada Selasa dan Rabu lepas.

— BERNAMA


Pengarang :