Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menunjukkan prestasi dan hasil ekonomi negeri ketika Jelajah Selangor Penyayang daerah Sepang di Kota Warisan, Sepang pada 30 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sumbangan KDNK meningkat bukti pentadbiran negeri unggul urus ekonomi

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kejayaan Selangor sebagai penyumbang terbesar hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022 membuktikan kemampuan unggul pentadbiran negeri dalam sektor ekonomi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu dilakukan dengan penuh kepercayaan, pengharapan serta teliti bagi mengekalkan keampuhan Selangor sebagai gergasi ekonomi.

“Bila sebut nama Selangor, ada yang rasa bangga dan ada pula yang cemburu dengan kejayaan kita. Di negara ini, kita sudah tunjukkan kemampuan kita yang besar dalam ekonomi.

“Sebutlah kita makin mundur atau makin perlahan namun graf dan data tidak menunjukkan itu dan tidak menipu,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan program Bantuan Sekolah Negeri Selangor 2023 di Pusat Konvesyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, ketika kali pertama dilantik sebagai menteri besar, sumbangan KDNK Selangor hanya 23.7 peratus sebelum meningkat kepada 25.5 peratus atau suku daripada kek ekonomi negara.

“Walaupun kita berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan, angka yang ditunjukkan daripada tahun ke tahun terus meningkat dan yang terbaru kita telah mencecah 25.5 peratus pada 2022.

“Kepimpinan hari ini berazam untuk terus mengekalkan kecemerlangan Selangor dalam pencapaian ekonomi untuk 50 hingga 100 tahun lagi,” katanya.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bulan lalu, Selangor mengekalkan prestasinya sebagai penyumbang KDNK tertinggi bagi 2022 iaitu 25.5 peratus, meningkat 0.7 berbanding 24.8 pada tahun sebelumnya.

Pencapaian tertinggi dalam tempoh 14 tahun itu disumbang pelbagai sektor seperti pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.


Pengarang :