Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara Shatiri Mansor ketika ditemui Media Selangor di pejabatnya di Subang Bestari pada 7 Julai 2023. Foto NAJAMUDDIN MOHD NOR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Shatiri berjaya selesai isu tertangguh sejak 2009 di DUN Kota Damansara

Oleh Najamuddin Mohd Nor

DAMANSARA, 7 JULAI: Kejayaan menyelesaikan isu melibatkan aliran trafik yang sekian lama berlarutan memberi kepuasan kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara.

Shatiri Mansor berkata ketika dipilih menjadi wakil rakyat, beliau bertekad menyelesaikan projek jalan Persiaran Atmosfera di Subang Bestari yang tertangguh sejak 2009.

“Alhamdulillah, projek jalan Persiaran Atmosfera itu telah selesai dan dapat digunakan oleh orang ramai pada tahun 2021, terlewat sedikit akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang sepatutnya selesai pada 2020.

“Isu telah berlarutan dan dua wakil rakyat sebelum ini gagal menyelesaikan, apa yang saya buat bawa isu ni ke mesyuarat kerajaan negeri dan mendesak ianya diselesaikan segera. Akhirnya dapat juga diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, Shatiri memaklumkan kesesakan aliran trafik di DUN Kota Damansara pada waktu puncak juga dikurangkan sejak Lebuhraya Damansara–Shah Alam (DASH) dibuka pada Oktober tahun lepas.

“Sebagai wakil rakyat, saya juga memainkan peranan memantau perkembangan pembinaan lebuh raya ini yang kita tahu perkembangan projeknya agak lembap ketika PKP.

“Lebih 50 peratus jajaran DASH ini melalui DUN Kota Damansara dan pastinya pembukaan lebuh raya ini memberi banyak manfaat kepada penduduk setempat kerana kesesakan aliran trafik tidak lagi tertumpu di jalan-jalan raya antara Kota Damansara sehingga ke Kampung Melayu Subang,” jelasnya.

Sementara itu, Shatiri menjelaskan, beliau juga berusaha memastikan projek tebatan banjir dilaksankan bagi mengurangkan risiko banjir kilat yang sering melanda di sekitar Kampung Melayu Subang.

“Alhamdulillah, fasa pertama projek tebatan banjir berjaya siap ketika saya menjadi wakil rakyat. Kini, penduduk di sekitar Kampung Warisan, Kampung Landasan di Kampung Melayu Subang tidak lagi mudah ditimpa banjir kilat,” katanya.


Pengarang :