EXCO Perumahan Borhan Aman Shah (tengah) merasmikan simposium kesejahteraan bandar anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor di Pusat Konvensyen Midlands di sini pada 23 Oktober 2023. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bangunkan kejiranan lestari, majukan komuniti berpendapatan rendah

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan Selangor sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk membangunkan kejiranan lestari terutama dalam memajukan komuniti berpendapatan rendah.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata tumpuan meliputi menaik taraf sistem pertanian lama kepada moden untuk meraih pendapatan, sekali gus menampung kos penyelenggaraan pangsapuri.

“Kita mahu wujudkan kejiranan lestari dan kukuh supaya rakyat selamat, dihormati dan mempunyai akses kepada perkhidmatan penting,” katanya merasmikan simposium kesejahteraan bandar, hari ini.

Program julung kali anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) diadakan di Pusat Konvensyen Midlands di sini. Turut hadir Pengarah Eksekutif LPHS Dato’ Dr Juhari Ahmad.

Borhan menambah Kerajaan Negeri turut meningkatkan pelbagai usaha bagi menyediakan perumahan yang selesa dan berkualiti kepada rakyat, khususnya menerusi Rumah Selangorku.

Beliau menjelaskan pentadbiran Selangor melihat perumahan bukan sekadar tempat berlindung, namun ia juga melengkapkan impian dan masa depan sesebuah keluarga.

“Saya mengalu-alukan perkongsian maklumat dan kerjasama daripada sektor awam dan swasta serta semua golongan dalam usaha membentuk masa depan perumahan yang lebih baik,” katanya.

 


Pengarang :