Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kongres KEADILAN bawa isu rakyat, bincang isu kebajikan

PUTRAJAYA, 26 NOV: Setiausaha Agung KEADILAN mengingatkan perwakilan parti itu supaya menggunakan pentas Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2023 bagi membincangkan isu rakyat.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau tidak mahu kongres tahunan itu hilang tumpuan seperti yang berlaku pada perhimpunan agung parti pembangkang di Shah Alam.

“Kongres tahunan KEADILAN diadakan kebetulan sama dengan perhimpunan agung Bersatu. Ucapan dasar Presiden umum letak jawatan, nak berundur. Pembahas kemudian minta jangan berundur.

“Majlis Tertinggi (kemudiannya) buat mesyuarat khas, tolak (keputusan berundur). Penutup hari ini, presiden umumkan tak jadi berundur. Isu rakyat, ekonomi, antarabangsa tak jadi tumpuan.

“Kongres KEADILAN tidak boleh begitu. Kongres mesti bicara soal kestabilan politik, merancakkan ekonomi, memberi tumpuan kepada kebajikan dan keadilan sosial serta yang paling penting, mengamalkan tatakelola pemerintahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 25 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Kongres dirasmikan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Semalam, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan dasarnya membuat kejutan dengan mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti tahun depan.

Beliau bagaimanapun membuat pusingan ‘U’ apabila memaklumkan akan bertanding pada pemilihan berkenaan selepas berbincang dengan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan ahli KEADILAN kini mencecah lebih 1.13 juta, dengan Selangor merekodkan lima cabang tertinggi bagi keseluruhan anggota.

“Cabang paling ramai ahli ialah di Kapar dengan 27,000 ahli, diikuti Kuala Langat (24,392), Kota Raja (23,762), Hulu Selangor (22,731), dan Sungai Buloh 22,395 ahli,” katanya.


Pengarang :