Pengguna Bas Smart Selangor mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sebelum menaiki pengangkutan awam itu di hentian bas Seksyen 13, Shah Alam pada 5 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

PBT diarah selaras khidmat Bas Smart Selangor, van transit

SUBANG JAYA, 13 JAN: Kerajaan Negeri mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengkaji semula laluan Bas Smart Selangor bagi meningkat kualiti pengangkutan awam.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han berkata kajian itu perlu supaya perkhidmatan tersebut dapat diselaraskan dengan laluan van transit atas permintaan (DRT).

“Kajian ini bagi memastikan dapat mengoptimumkan setiap ringgit diperuntuk untuk laluan yang sedang berjalan dengan DRT. PBT akan beri cadangan untuk lokasi bas dan DRT yang sesuai.

“Kita mahu perkhidmatan kedua-dua ini dapat memanfaatkan semua rakyat di setiap kawasan khusus untuk ke stesen perkhidmatan transit aliran ringan (LRT),” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan program penanaman pokok Pledge and Plant A Tree (Papat) di BK 3/1 Bandar Kinrara di sini.

EXCO Pengangkutan Awam Ng Sze Han (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Badanbas Coach Sdn Bhd Ibrahim Aiman Mohd Nadzmi bergambar di hadapan van transit atas permintaan (DRT) Mobi di SS15 Subang Jaya pada 21 Jun 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sze Han turut memaklumkan zon perkhidmatan DRT akan bertambah tahun ini terutama di Shah Alam melibatkan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Sambutan diterima amat menggalakkan seperti di Puchong kita perluas di beberapa kawasan dan jumlah pengguna meningkat daripada 800 kepada hampir 1,500 individu.

Tahun lalu, Sze Han menjelaskan kajian semula laluan Bas Smart Selangor dijalankan untuk diselaraskan dalam perancangan Kementerian Pengangkutan bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Lembah Klang.

Penelitian semula itu turut merangkumi penggunaan DRT yang menggantikan Bas Smart Selangor di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit pada masa depan.

Katanya, kajian laluan Bas Smart Selangor juga meliputi penambahbaikan ekosistem perbatuan pertama dan terakhir, laluan pejalan kaki yang selesa, mikromobiliti seperti e-scooter dan basikal elektrik.


Pengarang :