Paya Indah Discovery Wetlands yang juga taman tanah lembap terbesar di Lembah Klang antara tempat menarik untuk dikunjungi di Selangor. Foto Arkib SelangorKini
AGENDANASIONAL

Kerjasama MAG-Tourism Malaysia lonjak industri pelancongan

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Tourism Malaysia dan Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi kerjasama tiga tahun menerusi aktiviti pemasaran dan promosi bersama, bertujuan menggerakkan usaha meningkatkan kembali industri pelancongan negara, terutamanya di pasaran antarabangsa.

MoU itu ditandatangani antara Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia Lee Tai Hung dan Ketua Pegawai Komersial MAG Dersenish Aresandiran serta disaksikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia Manoharan Periasamy dan Ketua Pegawai Eksekutif MAG Ahmad Luqman Mohd Azmi.

Dersenish berkata MoU tersebut menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk mengukuhkan Malaysia sebagai pintu masuk ke Asia dan selainnya serta meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dalam ekonomi global sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).

“Kerjasama ini juga akan berasaskan kepada tawaran Bonus Side Trip (BST) MAG yang menyediakan penerbangan percuma kepada penumpang ke destinasi domestik dalam rangkaian Malaysia Airlines, yang memberi peluang kepada penumpang untuk melancong ke Malaysia.

“BST akan diperluas untuk merangkumi lebih banyak tawaran eksklusif bagi membolehkan pengunjung melawat lebih banyak tarikan di negara ini, destinasi menarik dan keajaiban budaya,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU itu di sini hari ini.

Sementara itu, Lee berkata 35.6 juta pelancong dijangka melawat negara ini yang berpotensi menjana sasaran resit sebanyak RM147.1 bilion, menjelang VMY2026.

Beliau berkata industri pelancongan tahun ini mempunyai prospek cerah, justeru, tumpuan akan diberikan kepada pasaran sasaran utama yang menyumbang kepada jumlah ketibaan pelancong dari negara ASEAN, Asia Barat, Asia Selatan dan Asia Timur.

“Tourism Malaysia dan MAG akan bekerjasama untuk saling memanfaatkan kekuatan, menyediakan perkhidmatan terbaik dan ketersambungan yang lancar.

“Lebih banyak aktiviti bersama dirancang, termasuk lawatan pengenalan ke Malaysia, aktiviti promosi pemasaran dan kempen pengiklanan untuk menampilkan Malaysia sebagai destinasi percutian pilihan di pentas global,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :