Dua bangunan kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru terbakar, sekitar 6 pagi pada 29 April 2024. Foto ihsan Bomba Selangor
AGENSISELANGOR

Kilang proses cat di Meru musnah terbakar

SHAH ALAM, 29 APRIL: Sebuah kilang memproses cat musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Meru, dekat sini pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Makhtar berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kecemasan pada pukul 6.34 pagi.

Beliau berkata 39 pegawai dan anggota bersama jentera dari dari lapan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) antaranya BBP Kapar, BBP Klang Utara dan BBP Andalas bergegas ke lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran selepas mendapat panggilan kecemasan.

“Kerja pemadaman turut melibatkan pasukan dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Kota Raja, BBP Shah Alam, BBP Bukit Jelutong serta BBP Rawang

“Kebakaran melibatkan dua bangunan kilang memproses cat. Semasa tiba api sedang marak dan sebahagian besar bangunan sudah dijilat api,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata kejadian tidak melibatkan sebarang kehilangan jiwa atau kecederaan, dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

-BERNAMA

 


Pengarang :