Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) bersalaman bersama tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Hulu Kelang di Tapak Niaga Hulu Kelang pada 28 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kempen awal calon Kerajaan Perpaduan terima sambutan penduduk KKB

AMPANG, 29 APRIL: Sambutan positif diterima jentera Kerajaan Perpaduan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) bukan tiket memandang rendah potensi pihak lawan.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata momentum yang dibina sejak beberapa minggu lalu berada dalam keadaan baik namun masih terlalu awal untuk menebak keputusan.

“Saya akan pasikan setiap jentera kita dalam keadaan baik dan perancangan kempen pilihan raya kita juga dapat capai matlamat untuk menarik pengundi seramai dan sebaik mungkin.

“(Memasuki hari kedua kempen) sampailah tanggal malam 10 Mei nanti program akan bertambah rancak dan bertambah padat daripada semasa ke semasa,” katanya mengulas perjalanan kempen hari kedua jentera Perpaduan dalam PRK kerusi DUN Kuala Kubu Baharu semalam.

Beliau ditemui selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang 2024 di tapak bazar Ramadan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di sini.

Pang Sock Tao, 31, merupakan calon Kerajaan Perpaduan bagi kerusi DUN KKB.

PRK DUN KKB diadakan susulan kematian peyandangnya Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut mempunyai 40,226 pengundi terdiri 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK KKB pada 11 Mei ini, hari pengundian awal 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.


Pengarang :